Saturday, February 18, 2012

Pandang Dunia dari sisi Akhirat



Seketika manusia merasa tidak cukup dengan apa yang ada. Kadang-kadang keselesaan yang dikecapi masih tidak mencecah harapan hidup.  Seorang pelajar jurusan perubatan, merenung ke luar tingkap kaca. Tergambar kerisauan tentang masa depannya. Kebahagiaan bersama keluarga yang terpaksa dikorbankan. Seorang anak pesawah, terduduk memerhati langit senja. Apakah hidup ini akan tamat di kawasan sawah hijau ini. Tenang dipandang mata, namun jauh di sudut hati apalah sangat untungnya sawah padi ini.
Saya seorang mahasiswa. Kalau mahu dihitung, sama sahaja seperti budak ingusan. Layaknya dijerit dan dijerkah selalu, “Itu salah!” dan “Ini salah!”. Seorang pemudi merenung masa depan, “Cabang mana yang aku nak lalui..?”. Bak kata pepatah,
Jauh perjalanan, luas pemandangan.
Maka dilontar pemandangan melihat teman-teman jauh nun di sana. Bumi anbiya’ tersimpan khazanah ilmu. Untungnya mereka. Dapat bertalaqqi ilmu dengan para ‘alim dan ‘ulama’. Dan segelintirnya diberi keberkatan berumah-tangga. Siap ada yang sudah bertambah ahlul bait! Apa lagi kalau ia tidak menjadi mainan psikologi teman-teman bujang.
Melihat lagi kehidupan teman-teman yang sudah menjejak kaki di alam pekerjaan. Mereka memang sudah pasti seorang yang bijak di tangga sekolah dahulu. Kerana itu mereka terpilih untuk menggulung ijazah dan master mendahului umur yang sepatutnya. Jeloussungguh!
Termenung duduk merenung nasib diri..


Mencari ketenangan dan kebahagiaan.  Ayuh melihat dunia daripada dimensi akhirat. Tiap-tiap saat hidup ini sungguh bermakna sebagai tangga menuju akhirat. Biarpun siapa kita hari ini. Itu bukan suatu yang sia-sia. Walau dilontar ke kaki gunung sekalipun, hayat itu tetap harus dimanfaatkan.
Ada manusia  menyifatkan bahagia itu datangnya daripada kekayaan dan miliki harta kemewahan. Walau itu suatu faktor yang sangat berkait rapat. Pastikah seorang yang mempunya kereta besar, rumah besar dan hidangan makanan di rumah yang sedap-sedap akan memperoleh ketenangan dan kebahagiaan? Belum pasti lagi kalau tidak mendapat keizinan tuhan.
Sebuah keluarga miskin yang memiliki ramai anak. Walau hidangannya saban hari hanya nasi berlauk garam sekalipun Allah tetap mengurniakan kebahagiaan berkeluarga. Akrabnya hubungan adik-beradik, nikmatnya persaudaraan jauh lebih tenang daripada sebuah kehidupan kaya harta yang sunyi daripada gelak tawa riang si anak-anak. Alangkah baiknya tuhan yang telah membahagi-bahagikan kebahagiaan.
Nikmatnya dunia daripada kacamata manusia sentiasa berbeza-beza. Ada yang susah, tetap merasa cukup. Ada yang mewah, tapi tidak merasa mawaddah dalam kehidupan. Kerana berkatnya sudah hilang. Apabila minda dan emosi hanya bertujuankan kejayaan hidup di dunia ini, sebaik sahaja dihilangkan daripada pandangan mata, pasti dia berasa kehilangan yang amat. Punah segalanya.


 Telah Allah katakan bahawa segala isi di dunia ini hanya sementara. Pangkat yang dipegang, kelulusan yang diperoleh, wang yang dinikmati, anak yang dilahirkan, semua itu hanya jalan membawamu ke akhirat. Sama ada kesudahannya baik atau pun buruk.
Ayuh kita renung lagi. Biar mata jiwa kita tembus ke alam akhirat yang bakal tiba. Biar telefon bimbit usang yang dipegang ini membawaku ke akhirat. Tidak perlu cemburu dengan sahabat yang memiliki iphone canggih. Tidak perlu mengidamkan kereta yang besar untuk bergerak ke sana kemari, cukuplah kereta kancilku ini mampu membawa aku ke majlis-majlis ilmu.
Hanya Allah sahaja yang berhak memiliki kekayaan dunia ini. Cukuplah Allah sebagai wakilku.

credit to Afnan Muhamad.
Muhasabah buat diri.Bersyukurlah~