Ditulis oleh Hilal Asyraf
http://ms.langitilahi.com/pengumuman-berminat-belajar-di-jordan/comment-page-1/
Jom baca...
Tanah Syam yang diberkati
Kelebihan yang tidak dapat disangkal lagi untuk Jordan adalah, bumi ini merupakan bumi para Anbiya. Malah, inilah dia tanah Isra’ Rasulullah SAW. Allah SWT memberkati persekitarannya.
Allah SWT berfirman: “Maha suci Allah yang menggerakkan hamba-Nya daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya untuk meneranginya dengan ayat-ayat Kami…” Surah Al-Israa’ ayat 1.
Kedudukan Jordan yang berada di tengah-tengah, antara Palestin, Mesir, Arab Saudi, Syria, Turki dan sebagainya membuatkan pelajar-pelajarnya mempunyai peluang mengembara yang tinggi dan mudah.
Pergi umrah hanya RM500 dan melaksanakan haji hanya sekitar RM2500 jika bergerak dari sini.
Tanah Jordan ini juga dipenuhi dengan makam para sahabat, tempat-tempat bersejarah seperti Petra, makam ashabul kahfi, medan peperangan Yarmouk, medan peperangan Mu’tah dan Laut Mati, tempat-tempat yang cantik seperti Wadi Ram, Wadi Mujib, Aqaba dan banyak lagi.
Keadaan di Jordan juga kondusif dan selesa.
Organisasi di dalam kehidupan pelajar Jordan.
Kehidupan pelajar melayu di Jordan merupakan kehidupan yang mempunyai kesatuan yang kuat, dan organisasi pelajar-pelajarnya selaras bergerak dalam keadaan yang sangat harmonis dan kemas.
Semua pelajar dinaungi oleh Kedutaan Malaysia, kemudian di bawah kedutaan wujud Malaysian Student Department(MSD) yang menguruskan keadaan pelajar di seluruh Jordan. Di bawah MSD, terdapat satu organisasi dari kalangan pelajar yang mengurus laraskan semua organisasi yang wujud di Jordan. Organisasi itu bernama MPPMJ(Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan)
Di bawah MPPMJ, terdapat empat persatuan zon mengikut daerah tempat tinggal pelajar melayu di Jordan, bersama persatuan-persatuan Badan Kebajikan Anak Negeri(BKAN). Persatuan Zon(PZ) yang dikatakan adalah Persatuan Mahasiswa Irbid(PERMAI) yang terletak di Irbid, Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah(PERMATA) di Mu’tah, Persatuan Penuntut Malaysia Amman(PPMA) di Amman dan juga Persatuan Pelajar Malaysia Al-Bayt(PRISMA) di Mafraq.
Yang saya hendak cerita, adalah Irbid.
Keadaan kehidupan di dalam famili PERMAI yang saya kasihi.
Irbid, kampung halaman saya
Irbid sudah saya anggap lebih dari rumah saya di Malaysia. Hidup di sini pada saya bahagia dan menyenangkan. Semua pelajar melayu ibarat keluarga. Kesatuan kukuh dan utuh. Wujud perbezaan pendapat, tetapi didahulukan dengan keharmonian toleransi. Ini membuatkan suasana di sini sangat cantik.
Di Irbid, terdapat dua universiti yang akan dituju oleh pelajar-pelajar melayu. Itulah dia University of Yarmouk dan juga Jordan University of Science and Technology(JUST). Kelebihan Irbid adalah, di sini pelajar melayunya bercampur antara pelajar agama(pelajar Yarmouk) dan pelajar akademik(pelajar JUST) yang akhirnya percampuran ini menghasilkan sinergi yang cantik, membuahkan nilai-nilai tambah yang tinggi pada pelajar.
Pelajar melayu di Irbid, ditadbir oleh PERMAI. Urusan iqamah, urusan tempat tinggal, urusan pendaftaran universiti, serta banyak lagi perkara-perkara yang memerlukan hubungan kepada universiti dan kerajaan Jordan, semuanya diuruskan oleh PERMAI.
Pelajar baru tidak perlu risau. Hanya perlu datang dengan persediaan hati, fizikal dan mental sahaja. Tidak perlu risau fasal rumah, tidak perlu pening fasal pendaftaran itu ini.
PERMAI tidak berhenti setakat urusan teknikal sahaja. PERMAI bertindak sebagai rumah dan ahli-ahlinya adalah keluarga yang menghidupkan rumah tersebut. Di dalam PERMAI, terdapat kelas-kelas tafaqquh untuk pengetahuan agama, terdapat kelas bahasa arab, terdapat juga sesi tazkirah yang dinamakan Intropeksi Iman, terdapat seminar-seminar yang menarik dan banyak lagi. Majlis-majlis seperti Hari Raya Aidil Fitri, AidilAdha, Maulidur Rasul, Ramadhan dan sebagainya turut disambut meriah oleh PERMAI untuk ahli-ahlinya. PERMAI menyediakan ruang, ahli-ahli PERMAIlah yang menghidupkan peluang-peluang ini.
Tempat tinggal antara pelajar melayu juga agak berdekatan antara satu sama lain. Jika berlaku kes-kes kecurian, kemalangan atau apa-apa sahaja, bantuan mudah dihulurkan. Ini jugalah yang membuatkan pelajar-pelajar melayu di Irbid sangat rapat dan saling kenal mengenali. Pelajar Yarmouk dan JUST, duduk di tempat yang sama. Malah ada yang berkongsi rumah.
Kedai-kedai di kawasan Irbid ini juga amat mesra dengan pelajar melayu. Pelajar melayu terkenal dengan akhlak yang baik, sopan santun yang tinggi dan peri pekerti yang menarik. Malah, pelajar-pelajar melayu sering sahaja menjadi bahan pujian pensyarah-pensyarah. Yang terbaru, di mimbar jumaat, khatib memuji Malaysia di khalayak ramai, menambah keeseganan masyarakat terhadap komuniti pelajar Malaysia di sini.
Kehidupan di Irbid sangat kondusif. Tempat tinggal pelajar melayu amat dekat dengan pekan. Kedai-kedai yang memenuhi keperluan pelajar, dari bahan dapur hinggalah alatan elektronik, ada di Irbid. Cuma bukan semuanya ada la. Kemajuan di Irbid, masih ketinggalan berbanding di Malaysia. Tetapi anda masih mampu menjumpai kedai komputer dan alat elektronik yang baik di sini.
Kedai-kedai kitab, kedai-kedai makan, kedai gunting rambut, kedai dobi, semuanya ada di Irbid.
Kos hidup di Irbid, kalau pandai berjimat cermat, maka RM500 sebulan sudah mencukupi untuk semuanya. Semuanya di sini maksud saya adalah: Sewa rumah, bil elektrik dan air, bahan dapur, keperluan universiti, kitab-kitab dan sebagainya.
Sistem pembelajaran dan kos pengajian di Universiti Yarmouk
University of Yarmouk, dari segi kedudukannya adalah sangat dekat dengan tempat tinggal komuniti melayu di Irbid. Hanya perlu berjalan 10 minit dari rumah.
Setakat ini, pelajar melayu yang datang ke Irbid akan menceburi lima bidang berikut.
1. Usul Fiqh
2. Usuluddin
3. Ekonomi Islam
4. Dirasat Islamiyah
5. Bahasa Arab
Jadi, anda tidak perlu risau untuk memilih kerana semua cabang ilmu ini mempunyai senior-senior yang ramai dan boleh memberikan tunjuk ajar.
Sistem pengajian di sini adalah, selepas anda selesai mendaftar, anda akan pergi mengambil ujian Markaz Bahasa. Sekiranya anda lepas, maka anda akan terus ke universiti. Sekiranya anda tidak lepas, anda akan dimasukkan ke dalam markaz bahasa. Tetapi, setakat ini, pelajar-pelajar yang lepas juga tetap mengambil Markaz Bahasa kerana ingin memantapkan penguasaan bahasa mereka, bagi memudahkan pengajian di Yarmouk.
Universiti Yarmouk tidak mengamalkan sistem tahun. Sistem yang digunakan adalah mengikut bilangan pelajaran. Saya ambil contoh Usuluddin. Cabang ilmu tersebut mempunyai 44 mata pelajaran. Anda hanya akan menyelesaikan pengajian anda dengan menyelesaikan 44 mata pelajaran tersebut. Tidak kira berapa tahun.
Di Yarmouk, anda boleh memilih mata pelajaran apa yang ingin diambil pada setiap sem berdasarkan pilihan yang telah disediakan oleh universiti mengikut cabang ilmu anda. Seterusnya anda boleh memilih pensyarah yang mengajar, juga berdasarkan pilihan yang telah disediakan oleh universiti mengikut pelajaran itu. Seterusnya, anda boleh memilih masa pelajaran anda, juga mengikut pilihan yang telah diberikan oleh Universiti.
Seorang pelajar boleh mengambil paling banyak 6 mata pelajaran satu semester. Jika markahnya baik, maka universiti akan membenarkannya mengambil 7-8 mata pelajaran satu semester. Tetapi, kebanyakan pelajar melayu mengambil 6 mata pelajaran satu semester.
Terdapat 3 semester untuk Universiti Yarmouk. Semester 1(bulan 9-bulan 1), semester 2(bulan 2-bulan 6) dan semester musim panas(bulan 6-bulan 8). Bagi Universiti Yarmouk, semester musim panas ini adalah pilihan. Sesiapa yang tidak mengambilnya, boleh bercuti.
Paling cepat biasanya bagi seorang pelajar menamatkan pengajian di Yarmouk adalah 3 tahun 3 bulan. Sekiranya dia tidak mengambil markaz bahasa, maka akan menjadi 3 tahun sahaja.
Kos pengajian di Yarmouk adalah seperti berikut:
Yuran kemasukan: RM300(Hanya dibayar semasa semester pertama tahun 1)
Markaz Bahasa: RM4000(hanya dibayar semasa semester pertama tahun 1)(sebelum ini saya tulis RM800. Silap. Sebenarnya JD800. Yakni RM4000)
Yuran setiap semester: RM210
Yuran setiap satu pelajaran: RM288
Katalah seorang pelajar itu mengambil 6 mata pelajaran satu semester. Maka bayaranya adalah seperti berikut:
RM210(yuran sem)+RM288(yuran pelajaran)X6(bilangan pelajaran yang diambil)= RM1983
Itu untuk satu semester.
Sistem Pembelajaran, dan kos pengajian di JUST
Tempat letak JUST adalah sedikit jauh daripada Irbid. Pelajar-pelajarnya perlu menaiki bas ke universiti. Tetapi itu sudah menjadi rutin yang tidak berat kepada pelajar-pelajar JUST dari kalangan komuniti melayu di Irbid.
Bidang pengajian yang diceburi oleh pelajar melayu di JUST adalah seperti berikut:
1. Perubatan.
2. Pergigian.
3. Fizik(Nik Nur Madihah seorang yang ambil)
Pelajar-pelajar melayu di JUST juga sangat ramai dari kalangan bidang Perubatan dan Pergigian. Jadi, bagi pelajar-pelajar baru, jangan risau sebab anda mempunyai senpai-senpai yang berbakat untuk memberikan tunjuk ajar.
Sistem pengajian di JUST menggunakan sistem tahun. Perubatan 6 tahun, Pergigian 5 tahun, manakala Fizik tidak saya ketahui(nanti ada peluang, saya tanya Madihah). Pelajar Perubatan dan Pelajar Pergigian akan memasuki tahun praktikal pada tahun 4.
Berbeza dengan Yarmouk, JUST tidak memberikan kebebasan untuk pelajar-pelajarnya memilih pelajaran apa yang ingin diambil. Yang dibenarkan untuk dipilih adalah waktu pembelajaran sahaja. Biasanya, setiap pelajar perlu mengambil 18 jam kredit setiap minggu.
Perlu diingatkan, bagi pelajar JUST. Jika anda fail, walaupun satu mata pelajaran, maka anda akan perlu mengulang seluruh tahun. Bagi pelajar tajaan, sesiapa yang fail melebihi dua kali, maka akan ditarik semula tajaan mereka.
Kos pengajian di JUST sangat-sangatlah mahal. Itu menyebabkan majoriti pelajar di JUST adalah tajaan daripada JPA, MARA, Menteri Pertahanan dan Bank Negara(Nik Madihah seorang). Terdapat juga pelajar persendirian, tetapi biasanya mereka adalah dari kalangan keluarga yang berada.
Kos pengajian di JUST adalah seperti berikut:
1 jam kredit = RM1200
Jika satu semester, perlu ambil 18 jam kredit:
18XRM1200= RM21600 untuk satu semester.
Mahal kan?
Dan perlu diperingatkan kepada sesiapa yang memohon mengambil Perubatan dan Pergigian di bawah tajaan JPA dan MARA, anda belum tentu lagi akan dihantar ke Jordan. Ada kemungkinan anda akan dihantar ke Mesir juga.
Biasasiswa?
Bila tengok kos ni, mesti ada yang tertanya-tanya fasal biasiswa.
Saya mulakan dengan pelajar Yarmouk.
Berita baik bagi anak-anak negeri Terengganu dan Selangor. Anda memang boleh memohon bantuan daripada Yayasan Terengganu dan Jabatan Agama Islam Selangor. Untuk anak negeri Penang pula, selepas setahun anda boleh membuat permohonan kepada Badan Zakat Negeri Penang. Bagi pelajar dari Johor, permintaan bantuan anda hanya akan dilayan pada tahun 3(serupa tak payah minta).
Bagi anak jati negeri Pahang, anda juga mempunyai peluang bantuan daripada negeri anda. Lebih-lebih lagi jika anda memasuki IKIP sebelum ke sini dalam bidang ekonomi Islam.
Negeri-negeri lain seperti Kelantan, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah dan Sarawak, tidak saya ketahui. Maaf. Anda boleh bergerak sendiri bertanyakan negeri-negeri anda.
Bagi pelajar yang mengambil Ekonomi Islam, anda boleh meminta tajaan daripaada JPA dan MARA. JPA dan MARA baru sahaja membuka peluang ini pada tahun lepas.
Baik, itu untuk pelajar Yarmouk.
Bagi pelajar JUST, sememangnya anda hendak atau tidak, biasiswa adalah amat penting. Anda boleh memohon tajaan JPA dan MARA. Boleh mencuba dan berusaha dengan bergelut dalam pemilihan untuk mendapat tajaan JPA dan MARA.
Jika anda pelajar daripada RMC(Royal Military College), anda boleh berusaha memohon tajaan Kementerian Pertahanan.
Anda juga boleh berusaha seperti Nik Nur Madihah dan kemudian memohon biasiswa dari Bank Negara.
Penutup: Silakan ke mari
Jika anda memilih ke mari, dan Allah izinkan anda menjejakkan kaki menyambung pengajian di sini, saya akan menyambut anda dengan tangan yang terbuka.
Untuk ke sini, anda boleh mencari borang KPT ke Jordan yang disediakan di internet.
Suka diingatkan agar persediaan dilakukan dengan secukupnya. Persediaan dari wang itu satu, tetapi pada saya persediaan hati untuk melakukan perubahan, untuk bertoleransi, untuk sayang menyayangi antara saudara, itu adalah yang paling penting.
Saya sangat sayang pada PERMAI dan ahli-ahlinya. Suasananya yang cantik pada saya sangat mahal dan sukar dijumpai di mana-mana.
Semoga Allah mempermudahkan urusan anda semua.
No comments:
Post a Comment