Friday, October 29, 2010
Erti Cinta dalam Perjuangan?
Cinta itu ANEH kerana semakin bertambah cinta kepada Allah bermakna semakin takut kita kepada NYA, dan semakin takut kita kepada NYA semakin pula kita menghampiri NYA
Lalu, tatkala cinta kepada ALLAH dan Rasul NYA melebihi cinta sekalian makhluk, maka hampirlah ia untuk mendapat kemanisan dan keINDAHAN iman
Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)
Namun, keindahan iman itu tidak cukup dengan hanya dikecapi seorang diri, rasa RISAU di atas kerosakan umat mesti lahir di jiwa para pencinta kebenaran, lalu menerpa masuk ke kancah kerosakan menarik jiwa2 yang lalai supaya turut merasai kemanisan cinta yang Maha Cinta.
~ inilah perjuangan yang berasaskan cinta ~
“Orang muslim yang kuat imannya tidak mencintai sesuatu kecuali kerana Allah. Dan tidak pula membenci sesuatu, kecuali benci kerana Allah. Oleh kerana itu ia akan mencintai atau membenci sesuatu kalau Allah dan Rasul-Nya mencintai atau membencinya”.
dipetik dari Minhajul Muslim (karangan Abu Bakr Jabir Al-Jaza'iri)
Manifestasi cinta Rasulullah Sallahu'alaihi wasallam
Hidup Baginda sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk umatnya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.
cuba renungkan hadis ini,
Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim)
bagaimana umat ini sentiasa lupa, sering sahaja mendekati kerosakan, walau kerap kali diingatkan, namun KASIH dan CINTA Baginda yang tidak pernah pudar itu sentiasa mendorong Baginda berusaha menyelamatkan umatnya dari kemurkaan Allah, inilah sikap yang seharusnya kita contohi dan teladani.
Kasihlah kita kepada Baginda Sallallahu'alaihi wasallam
Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”
ALLAH ALLAH ... Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala aali sayyidina Muhammad
Tuesday, October 26, 2010
Hem~ KOreksi Diri Mu
Manusia oh manusia...
Kenapa kamu begitu...
Makin berilmu makin bongkak...
Oh lupa...
Manusia kan nasiya....
"lupa"
Lupa pada asal usulnya..
Lupa pada janjinya...
Lupa bila diuji...
Biasa la tu...
Jadi..
Terima je la..
Begitu kah???
Ingatlah!!
Kullu nafsin zaaiqatul maut
p/s: Kematian semakin menghampiri setiap detik helaan nafas..Allahuakbar..
Tuesday, October 12, 2010
Special dedication to all science stream Maktab Mahmud Alor Star..tetap di hati~ T_T
Memori indah mengusik di jiwa
5SC1
Inilah kelas yang paling baik..paling sopan..paling diam..paling skem-A la orang kata
hihi....
Yang tengah2 tu..cikgu kelas kami,Cikgu Norhayati(betul dak xtaw ejaan..hihi)
Cikgu yang paling sporting..orang tidoq dalam kelas dia pun xpa
(hish x baik! haha)
Apa pun cikgu mmg best!
Emm budak2 kelas ni ada ja yang jenis hu ha! tapi mengkin disebabkan bilangan yang
ulat buku lebih ramai dari golongan ni..maka golongan yang hu ha ni pun secara
semulajadinya malu sendiri la (ye la..nnti dengaq suara dia sorg ja dlm kelas tu.haha..kesian)
Dalam kelas ni ada sorang budak yang suka menghentakkan kaki beliau apabila beliau mengantuk
( xmw bg tidoq kot..haha..)
Jadi secara automatiknya dentuman kakinya itu telah mengejutkan insan2 lain yang ketiduran..zzzzz
(nice~ hahaha)
Ada jugak yang tidur sampai around the clock dia pusing kepala(dasyat~)
hahaha
(hang tw mana ni madihah..skodeng orang ka..haha)
Kelas ni x men la bising2..hatta nak gaduh pun..we fight profesionaly..main conteng2 bawah meja guna
kapoq kelas ja..x pun bagi fly surat layang..mana men perang mulut ni
sebab tu kelas kami "aman damai" haha
(sapa yang duk bt keja ni selalu phm2 la noh..hii)
Merata dah depa la ni..ada yang kat Jordon..Jermen..Mesir..US..Malaysia(dah tentu2 la kn) yang paling
jauh adalah negara TakTauKeManaMenghilang..(haha..ni plg ssh nk p) :)
Apa pun nice to be their classmate.. T_T
5SC2
ha,yang ni 5Sc 2..sebelah kelas 5 Sc1 ja kedudukannya...
Kelas ni suam2 kuku ja..xda la bising sangat
sebab kalau depa terover bising..mula2 bdk2 pmpn kelas sc1 akan ketuk dinding belakang
(isyarat hampa dah overdos bising)
and cmtu la sebaliknya...(tapi kami jarang bising..lalala)
Budak2 kelas ni ada yang kaki lawak..kaki gelak..kaki menyembang..tapi kaki serius pun
berada dalam kelas ni.(head prefect kot..syhh!).
jadi seimbang la cket tahap kebisingan mereka ni..hoho
Yang tengah2 tu Cikgu Khairusani ,cikgu kimia kami
Cikgu ni pemalu cket..sampai nak bagi kad kahwin beliau kat kami
pun beliau segan( biasala bujang lagi time tu)
Apa khabar cikgu skrg ya? Dah berapa orang anak dah la...
Hisy xboley cita byk2 hal kelas orang ni..nnti depa mengamuk..hoho
Ha,yang bakal aku cita ni kelas yang paling GAMAt sekali
jeng...
jeng....
jeng.....
Kelas 5 SC 3
Kelas yang paling hingaq wal bising...ni dia..
fewh!! kelas ni bising tahap gaban ..riuh rendah!
Hari2 ceria..apa depa sembang xtaw la
Hari2 gaduh ptra pu3 (hampa gaduh pasai beli susu anak ka? haha..mlwk ja)
(apa depa gaduh aku pun xphm...haha)
Dalam kelas ni menghimpunkan kaki menyanyi (ayat sopan ja ataupun dikenali 'melalak'oopss)
kaki bercerita..kaki gelak (sekali gelak bergegaq banggungan ..haha) dan segala mcm kaki lagi
tapi depa hingaq2 wal bising pon...otak genius (suka la tu.. :p)
Incident paling hampeh depa ni pnh gaduh adalah pasal pembalut meja
(aduyai..rilex la ..xmo la gaduh2)
Kami(sc1) xpuas hati pasai pembalut meja pun..we do it nicely..haha..kutuk2 dlm hati ja
hahaha....sapa pun xsakit hati kecuali hati sendiri ja..haha
Pendek cita budak2 dalam kelas ni enjoy ja sokmo
tu aku suka menyibuk kelas depa ni..sbb kalau aku hingaq pun xdk sapa perasan
sebab mmg kelas depa sedia hingaq..tmbh sorang lagi who cares kan??hii
tapi honestly rasa nak tergelak saja masuk kelas ni..ahaks!
Tapi sekali kena pangkah mmg truk la..kena cop kelas paling hingaq..lalala
Disebabkan kelas sc1..sc2 dan sc3 adalah sebelah menyebelah
maka kita akan dapat saksikan perbezaan yang amat ketara apabila melintasi kelas2 ini..
ibarat volume radio dari skla 1- 10....haha
Bila lalu kelas Sc1 ja..sepi...
fuhh baguihnya bdk2 kelas ni..orang lalu pun mushkil ,ada orang ka xdk kelas ni..
(ingatkan study ..rupanya pakat lena..boring py pasai)
Bila lalu kelas sc2 ja..rasa bernyawa la cket..ada la juga dengaq sekali-sekala
orang histeria buat bising..hoho
(maknaya ada la tukang karut duk buat cita tu)
Paling best sekali bila lalu Sc3..fuhh xtaw nk hbq betapa perbezaan yang amat ketara ..
kalau lalu mmg orang toleh banyak kali...ni kelas ka konsert ni..bising yg amat..
pokok hat layu pun boleh segaq lalu kelas depa ni..
Tapi la ni pakat besaq dah..dah xnakal2 mcm dulu dah (ya ka?? blh pcy ka hampa ni?)haha
Skrg ni suma bakal2 doktot,engineer, architect,teacher,biologist,ustaz2..sheikh2,scientist2 belaka dah
terer2 depa ni..prouud to be their friends ^_^
Thanks 4 being my friends
Thanks 4 everything sorry 4 anything
Miss U All
T_T
Monday, October 11, 2010
Tak tuduh,tanya je..Lelaki pantang ditegur?Pandangan anda??
Kata seorang rakan perempuan, lelaki ini teruk. Ada ego yang tersendiri, jarang sekali nak mengaku kalah dalam sesuatu perkara. Kata seorang rakan lelaki pula, perempuan pun sama, kata orang sahaja yang lebih, mentang-mentang mereka ramai, mereka boleh kata apa yang mereka suka.
Apa-apa pun yang mereka katakan, saya tetap dengan pendirian saya. Kedua-duanya sama, nak kata perempuan teruk, merekalah bakal isteri pilihan daripada seorang lelaki. Nak kata lelaki ini ego, mereka jugalah suami untuk pilihan si perempuan itu. Salahkah mereka ini berdamai?
Antara kita sedar atau tidak, isu lelaki dan wanita dalam menyatakan siapa yang lebih baik ini adalah isu jahiliyyah. Isu inilah yang cuba di permainkan oleh golongan yang suka melihat perpecahan berlaku. Siapa lagi kalau bukan dikalangan musuh-musuh kita ; Syaitan, Kuffar, Munafiq, Mukmin yang dengki, termasuk nafsu yang penuh dengan dosa ini. Cucuk sahaja dengan isu-isu ini, pasti ada yang melenting.
Sebab itu, Allah melarang seseorang itu menyatakan keaiban dan kelemahan seseorang dihadapan seseorang yang lain. Allah SWT berfirman :
"...dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
(Al-Hujurat : 11)
Percayalah... Isu ini sekiranya dilemparkan kepada seorang lelaki atau wanita sejati, sudah pasti akan menimbulkan rasa ketidakpuashatian antara satu sama lain. Mana tidaknya, orang Melayu ini memang dilahirkan dengan jiwa yang cukup-cukup sensitif. Cubalah cucuk sedikit tentang isu orang Melayu, pasti ada yang keluarkan parang. Samalah situasinya jika sentimen jantina itu dimain-mainkan dalam isu agama. Cubalah cucuk sikit tentang isu 'perempuan lebih hebat', semua lelaki tak boleh lelap mata dua tiga malam.
Tak mustahil jika kita dengar suatu ketika dahulu, ada sebilangan puak sekular yang mendakwa, Islam ini tak sesuai untuk wanita kerana Nabi itu lelaki. Nauzubillah... Moga Allah jauhkan kita dari golongan ini. Sekali lagi saya cuba menegaskan, isu lelaki dan perempuan ini bukanlah isu baru, bahkan sudah ada dari Zaman Jahiliyyah. Ironinya, mahasiswa perlu sedar sejauh manakah perbincangan 'siapakah yang lebih baik' ini mampu pergi ke jalan penghujungnya.
Saya terfikir, isu ini saya rasa belum saya bahaskan sebelum ini. Antara percaya ataupun tidak, isu sentimen lelaki-wanita ini timbul bila adanya tegur-menegur antara satu sama lain melalui jantina yang berbeza. Kadang-kadang, kita merasakan kita cukup baik untuk menegur seseorang sahabat berlainan jantina, tetapi kita masih belum sedar bahawa cara kita tegur boleh meruntuhkan air muka sahabat.
Tetapi, tegur-menegur ini bukanlah semuanya membabitkan sentimen yang berlaku. tengok sahaja kepimpinan Umar Al-Khattab. Sejak zaman Khalifah Umar Al-Khatab lagi, saidina Umar pernah di tegur oleh seorang wanita kerana menetapkan harga mahar yang tinggi. Saidina Umar juga pernah ditegur kerana kepimpinannya. Tetapi, tak ada pula isu lelaki dan wanita, siapakah yang lebih hebat.
Jadi, apakah silapnya jika seseorang lelaki ini ditegur seorang wanita? Adakah ada cara yang lebih baik dalam memastikan golongan ini benar- benar neutral daripada isu-isu pinggiran ini? Sama-sama fikirkan...
Saturday, October 9, 2010
So Sweet... Masyitah...
Kerja yang banyak di universiti tadi membuatkan kepalanya macam sedikit berpinar. Perlahan-lahan dia menarik nafas menghirup udara segar halaman rumahnya yang menghijau. Sebelah tangan yang tidak memegang beg dilarikan ke belakang leher, mengurut-ngurut perlahan.
“Ish,ish. Kenapa gaya macam tak makan setahun sahaja ni?” Satu suara lembut menyapa gegendang. Pantas Hariz menoleh ke arah pintu rumah. Matanya terus terpaku di situ.
Seorang perempuan bercermin mata, bertudung labuh, bersama baju lengan panjang yang labuh dan seluar riadhah. Nampak sederhana. Mungkin sahaja orang lain akan menyatakan bahawa perempuan ini biasa sahaja, tiada yang istimewa. Tetapi untuk Hariz Arifi, wanita di hadapannya kini adalah satu-satunya bidadari yang wujud di atas dunia yang fana ini.
Tanpa sedar, kakinya melangkah ke arah perempuan itu. Wanita itu sedikit terkejut melihat Hariz Arifi yang semakin mendekat dengannya. Beberapa langkah kemudian, jarak antara Hariz Arifi dengannya sudah tinggal sejengkal sahaja. Dia terpaksa mendongak sedikit untuk memandang Hariz Arifi yang lebih tinggi berbandingnya.
“Kenapa?” Perempuan itu bertanya teragak-agak. Kebisuan Hariz Arifi membuatkannya tertanya-tanya.
Hariz Arifi meletakkan beg di tangan. Kemudian memandang sekali lagi perempuan itu sedalam-dalam. Perempuan itu mengangkat kening. Ada apa-apa yang tidak kenakah? Hati bertanya.
Tiba-tiba Hariz Arifi menggores senyum. Terus dipeluk perempuan itu seerat-eratnya.
“Tata, rindunya saya pada awak!” Sambil menggoyangkan tubuh perempuan itu sedikit ke kiri dan ke kanan.
“Apa buat gaya seribu tahun tak jumpa ni? Terhantuk stereng kereta? Malulah kalau orang nampak. Kita di hadapan rumah ni.” Perempuan itu terkejut dengan reaksi Hariz Arifi. Spontan kedua belah tangannya bereaksi untuk menolak tubuh Hariz Arifi. Hariz Arifi perlahan-lahan meleraikan rangkulannya. Senyumannya masih belum hilang. Mata mereka berdua bertemu.
“Tata, bila tengok muka awak, semua kepenatan saya hilang.” Hariz mencubit kedua belah pipi perempuan di hadapannya.
“Yalah tu. Cukup-cukuplah jiwang karat awak tu. Lemas saya.” Perempuan itu menarik kedua belah tangan yang mencubit pipinya, kemudian menunduk mengambil beg Hariz Arifi tadi.
“Lagi satu, sejak bila nama saya jadi Tata ni ha? Ingat Bas Tata MATRI ke?” Dia mencebik sebaik sahaja berdiri tegak semula.
Senyuman Hariz Arifi semakin lebar. “Masyitah, jadi Tata. Itu panggilan manja saya pada awak.”
“Tak naklah. Ada patut Tata.” Perempuan yang bernama Masyitah itu berpaling dan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah.
“Comel apa Tata. Kiut.”
“Habis tu, awak saya panggil Haha nak tak?” Masyitah memandang Hariz Arifi yang kini berjalan beriringan dengannya ke bilik.
Pecah ketawa Hariz. “Comel jugak tu. Tata dan Haha. Kalau ini status Facebook, saya dah ‘like’ awal-awal.”
“Senget.” Hariz ditolak lembut. Akhirnya Masyitah juga ketawa.
“Saya tak mahu Tata. Saya nak Masyitah. Harapnya, boleh menjadi Masyitah seperti di zaman Musa.”
Tawa Hariz Arifi terhenti. Bertukar dengan senyuman manis.
“Saya sentiasa doakan awak semoga mampu mencapainya. Tiara Masyitah.”
Masyitah turut tersenyum.
Sampai di hadapan tangga, Masyitah hendak naik tetapi Hariz menuju ke dapur.
“Eh, nak pergi mana? Tak nak naik dulu?”
Langkahan Hariz terhenti. Matanya menyapa wajah Masyitah. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng. “Puan Masyitah, saya nak pergi memasak. Saya tahulah awak kaki diet. Tapi takkan tak nak makan langsung? Tak benarkan saya ke dapurkah?” Dan tanpa menunggu jawapan, Hariz Arifi bergerak ke dapur meninggalkan Masyitah dengan senyuman.
Masyitah menggeleng.
Baru tadi muka macam orang tak makan seribu tahun.
Balik memasak pula? Ini yang aku tak nak dulu. Ish…
Akhirnya langkahan dikorak naik ke atas untuk meletakkan beg, tidak menghiraukan desiran di dalam hati. Namun perasaan itu tidak akan hilang begitu sahaja. Semestinya.
Memang namanya Masyitah.
Tetapi dia bukanlah sebaik Masyitah di zaman Musa. Hanya berharap untuk menjadi sepertinya sahaja. Belum tahu mampu mencapainya atau tidak.
*****
“Kahwin dengan Hariz Arifi?” Matanya membesar. Terkejut.
“Em, dia berhajat kepada Masyitah. Apa pandangan Masyitah?” Ibu bertanya lembut.
“Eh, tak naklah!” Segera dia menjawab.
“Kenapa?”
“Er…” Macam mana hendak menjawab soalan ‘kenapa’ ini ya? Sepatutnya pertanyaan itu dilontarkan kepada Hariz Arifi. ‘Kenapa’ dalam banyak-banyak perempuan di dunia ini, dia yang menjadi pilihan hati?
“Syitah tak sedia la Ibu. Syitah muda lagi. Baru habis SPM. Lagipun…” Ibarat bertih jagung, pantas dia memberikan alasan. Hatinya macam dihimpit-himpit dengan tekanan yang amat berat.
“Lagipun?”
“Dia Hariz Arifi. Ibu bukan tidak kenal siapa Hariz Arifi.”
Ya. Hariz Arifi. Beberapa tahun lebih tua daripadanya. Masyitah kenal akan dia. Merupakan senior di sekolah lamanya. Tetapi kini, bukan sedikit orang yang mengenali nama itu. Umur masih muda tetapi pemikirannya kadangkala menakjubkan veteran-veteran di dalam kehidupan. Gerak langkah pemuda itu pantas. Kerja pemuda itu adalah memperbaiki dirinya sambil mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Semua itu dilakukan semasa belajar di luar negara. Hari ini nama itu semakin meningkat naik di Malaysia. Hampir semua kawan-kawan Masyitah mengenalinya. Begitu juga dengan jiran-jirannya.
Kahwin dengan orang macam itu?
Mampukah aku?
Diri banyak perkara masih belum diperbaiki. Masih rasa terlalu muda untuk segala tanggungjawab. Masih rasa ingin berseronok itu dan ini. Kahwin? Umur baru 18!
Serabut kepala memikirkannya.
Kenapa tak pilih mana-mana pembawa usrah di sekolah mereka dahulu yang kini masih aktif di universiti masing-masing?
Kenapa dia?
“Ibu, tolaklah ya?”
Ibu menghela nafas. “Baiklah Masyitah. Ibu ikut sahaja apa yang Masyitah senangi. Tetapi Ibu sukalah dengan Hariz tu.”
Masyitah diam. Masalahnya, aku tak mampu. Muda lagi. Itu satu hal. Hal yang lebih besar lagi, adalah aku ini tak sama macam Hariz itu. Aku tidak sebaik Masyitah penyisir rambut anak Firaun!
Pap!
Lamunan kenangan yang terimbas itu pecah begitu sahaja. Kedua belah telapak tangan Hariz yang bersatu di hadapannya. Terus ditolak lelaki itu. “Awak!”
“Termenung apalah tu sampai saya datang pun tak perasan. Teringat saya ya?”
“Tekan lif naik sendirilah.” Masyitah memuncung. Matanya kembali kepada nota-nota di atas meja jepun. Sempat bola matanya menyapa buku-buku yang berselerak dan komputer riba yang hidup di tempat yang sama. Penuh meja jepun itu dengan barang-barang studinya.
Hariz menarik garisan manis pada bibir. Tubuhnya dirapatkan dengan tubuh Masyitah.
“Ini kenapa ni? Encik Hariz Arifi, Tiara Masyitah mahu studi ni. Minggu depan saya final exam.”
“Garangnya.” Pipi Masyitah ditarik lembut.
“Ish!” Tangan itu ditepis. Hariz ketawa.
“Awak, dari kacau saya, baik awak buat tesis awak tu. Kata nak habis Masters sama-sama dengan saya graduasi.”
“Tesis saya sudah hampir siap. Itu sebab saya kacau isteri yang ter’chenta’ ini.”
“Jahat!” Pantas sebelah tangan Masyitah mencari pinggang Hariz. Hariz mengelak dengan segera. Akhirnya mereka berdua ketawa. Masyitah sampai menggeleng.
“Tadi terfikir apa? Saya keluar dapur, masuk dapur, keluar dapur semula awak masih termenung lagi. Susah sangat studi sampai terfikir nak melancong ke Zargus ke?”
“Ada pula macam itu. Ingat orang studi sampai sewel?” Masyitah sengih.
“Manalah tahu.”
“Teringat masa awak propose saya pada Ibu.”
“Oho.”
Suasana jadi sepi sebentar. Bunyi desiran kipas mengisi ruang.
“Akhirnya kahwin juga kita ya?” Hariz menatap Masyitah.
Masyitah mengangguk perlahan. Perkahwinan mereka baru berusia setahun setengah. Hariz Arifi sudah hampir menamatkan mastersnya, manakala Masyitah pula sudah hampir menyelesaikan ijazahnya.
“Menyesal tak?” Tiba-tiba Masyitah melontarkan soalan, mengundang angkatan kedua-dua kening Hariz Arifi.
“Menyesal?”
“Kahwin dengan saya?”
Hariz Arifi tersengih. Kemudian menggeleng. “Tak pernah menyesal.”
“Betul? Kahwin dengan orang tak pandai masak, tak solehah, tak menonjol dalam dakwah dan tarbiyah,” Masyitah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Hariz setia mendengar.
“Tak hafal Al-Quran banyak, tajwid pun tak hebat, asyik kena kejut Subuh hari-hari, ibadah sunat kurang, Tak lovely, asyik studi sahaja, Tak pandai layan awak, tak…” Dan bicara Masyitah terhenti di situ. Jari telunjuk Hariz Arifi sudah melekat pada bibirnya. Mata mereka bertemu.
“Saya tak perlukan semua itu. Bukankah saya sudah kata sebelum kahwin, yang saya mahu daripada awak hanyalah awak berada di sisi saya sahaja. Saya tidak minta lebih daripada itu.” Jari telunjuk itu diturunkan. Kedua belah tangan kini mencari tangan Masyitah. Memegang erat tangan lembut itu.
“Untuk saya, cukup sekadar awak bernafas di sisi saya. Biar saya yang masak, biar saya yang kemas rumah, biar saya yang baca Al-Quran untuk awak, biar saya yang hari-hari kejut awak Subuh, biar saya yang lovely, biar saya yang caring, biar saya yang asyik layan awak. Biar saya semua.” Hariz Arifi menyempurnakan bicara.
“Saya bukan Masyitah di zaman Musa. Setahun setengah ini, banyak saya sudah susahkan awak. Lebih-lebih lagi hal dakwah dan tarbiyah. Sahabat-sahabat lain yang macam awak, isteri mereka semua hebat-hebat. Semua ke hadapan sama-sama. Saya…” Masyitah menunduk.
“Mana ada awak tak bantu dalam dakwah dan tarbiyah?”
“Eh? Ada saya bantu?” Masyitah berfikir. Ada bagi ceramah? Tak ada. Ada bagi idea? Pun tak ada. Ikut program sebagai orang biasa sahaja adalah. Menjadi penggerak, pemikir, tak pernahlah pula.
“Ada. Bila awak ada di sisi saya, saya jadi kuat. Bila saya jadi kuat, saya lebih bersemangat dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Bila saya bersemangat melaksanakan dakwah dan tarbiyah, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar. Bila kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar, insyaAllah ramai orang akan mendapat manfaat.”
Masyitah terpana. Garis manis pada bibir Hariz tidak pudar. Tangan Hariz semakin erat memegang tangan Masyitah.
“Bukankah awak telah membantu? Tak puas hati lagi?” Hariz merapatkan dahinya ke dahi Masyitah. Wajah Masyitah kemerahan.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Eh, kenapa la awak fikir benda ini hari ini? Sudahlah. Minggu depan hendak final exam. Nanti serabut kepala otak. Mari makan. Saya sudah siap hidang di dapur tu. Hari ini saya masak special. Sotong masak sambal kegemaran awak.” Hariz bangun.
Masyitah diam. Tidak mampu berkata apa-apa.
“Lah. Bangun pun nak saya tolong? Romantiknya.” Hariz menghulurkan tangan apabila Masyitah tidak bangun-bangun.
Masyitah mencebik. “Senget.” Masyitah menyambut tangan Hariz, dan suaminya itu membantu dirinya bangun. Mereka berjalan beriringan ke dapur.
Hariz ketawa. Di dalam hatinya dia bahagia. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Tiada apa yang lebih mendukakannya melainkan kedukaan bidadari jiwanya ini.
Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini kepadanya.
Kepada seorang Tiara Masyitah.
*****
“Dijemput pasangan suami isteri Dr Ali Zahidi dan Dr Maryam Umairah!”
Sepasang suami isteri berjalan beriringan sebaik sahaja pengerusi majlis melaung nama. Tepukan kedengaran memenuhi dewan.
“Kini dijemput pula, Hariz Arifi, motivator kita.”
Hariz Arifi bangun dari kerusi yang telah dikhaskannya di barisan hadapan.
“Maaf ya awak. Saya malu nak ke hadapan.” Masyitah menarik hujung kot Hariz.
Hariz menarik senyuman. Menggeleng. “Awak ada ini pun sudah cukup.” Tangannya menyentuh pipi Masyitah.
Langkah diatur menaiki pentas. Ada empat kerusi untuk ahli panel sebenarnya. Majlis ini adalah perkongsian dua pasangan suami isteri. Tetapi satu kerusi kosong. Itu sebenarnya tempat buat Masyitah.
“Maaf, bidadari saya sangat pemalu. Jadi saya kira saya seorang sahaja di atas ini.” Hariz membuat gaya ‘peace’.
“Lagipun, saya takut ter’overshadow‘ pasangan Abang Ali Zahidi dan Kak Maryam Umairah saya ini.” Matanya memandang pasangan suami isteri di sebelahnya, sambil tangan menyapa lengan Dr Ali Zahidi. Seniornya ketika di sekolah dahulu.
Ucapannya disambut tawa dewan. Dr Ali Zahidi menyambut gurauan itu dengan senyuman. Begitu juga Dr Maryam isterinya.
Forum Baitul Muslim yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa anjuran NGO bernama HALUAN itu bermula.
*****
“Macam mana?” Soalan dikeluarkan.
“Macam mana apa?” Hariz memandang Dr Ali Zahidi.
“Macam mana hidup dengan Masyitah?” Dr Ali Zahidi menunjuk kepada meja perempuan.
“Amat amat amat bahagia.” Senyuman Hariz melebar.
Dr Ali Zahidi mengangguk sambil mata garfu dibenamkan pada daging sebelum sudu di tangan kiri membuatkan daging itu menjadi lebih kecil.
“Sebenarnya, ana tak sangka enta pilih dia.” Dr Ali Zahidi bersuara selepas menelan makanannya. Matanya memandang tepat Hariz.
Hariz yang baru sahaja hendak menyuap makanannya tidak jadi berbuat demikian. Senyumannya yang tadi melebar, menjadi kendur.
“Kenapa Abang Ali cakap begitu?”
“Yalah. Dalam organisasi kita ini, ramai lagi akhawat yang berkaliber. Yang boleh bersama-sama dengan enta dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini. Yang boleh ke hadapan dengan enta.”
Hariz diam.
“Memilih yang telah siap diproses, lebih mudah. Maka kita boleh buat banyak kerja lagi. Boleh bergerak lebih jauh lagi.”
“Teorinya, itu memang benar.”
“Jadi? Kenapa dulu enta pilih dia?”
“Sebab dari segi praktikalnya, teori itu tidak berjalan buat saya.”
“Em?” Dr Ali Zahidi tidak dapat menangkap maksud Hariz.
“Abang Ali, Rasulullah SAW pesan untuk kita mencari wanita yang baik agamanya.”
“Ya.”
“Masyitah dari segi asas agama, dia jelas.”
“Ok.”
“Jadi saya tidak perlukan sebab tambahan. Hal ini kerana, Allah bagi saya jatuh cinta kepada dia. Saya tidak perlukan apa-apa sebab lain selain perasaan ini. Saya tidak berkahwin dengan dia kerana apa-apa. Saya berkahwin dengan dia kerana dia. Kerana dia itu Tiara Masyitah. Bukan kerana dia itu Masyitah seperti Masyitah di zaman Musa.”
“Yalah. Tetapi bukankah lebih bagus enta pilih yang seperti Masyitah di zaman Musa? Yang berani ke hadapan menegakkan kebenaran. Ini hendak berkongsi pun tidak mahu. Apa manfaatnya kepada masyarakat? Berkahwin dengan orang macam dia, enta nak selalu tinggalkan rumah pun tidak boleh.”
Hariz menghela nafas.
“Abang Ali. Apa pandangan Abang Ali terhadap saya. Apakah saya ini bermanfaat kepada masyarakat?”
Dr Ali Irfan mengangguk. “Sebab itu ana cakap perkara ini. Orang macam enta, rugi jika bersama dengan orang seperti Masyitah. Enta masih muda, sebab itu ana berbicara akan hal ini. Ana berpesan kepada enta sebagaimana pesan Ibrahim kepada Ismail. Tukarlah.”
Hariz tersengih.
“Tahukah Abang Ali bahawa, saya menjadi bermanfaat sebagaimana yang Abang Ali nyatakan itu hari ini, dengan kehadiran siapa?”
Dr Ali Zahidi diam.
“Dia.” Hariz menunjuk kepada Masyitah yang khusyuk bersama Dr Maryam.
“Kita kenal semenjak sekolah menengah Abang Ali. Abang Ali tahu saya ini macam mana dahulu. Walaupun saya aktif dalam dakwah dan tarbiyah di sekolah, saya panas baran, tidak sabar, keras kepala dan sebagainya. Saya juga lemas dalam kekayaan keluarga saya.”
Dr Ali Zahidi mengangguk. Dia ingat semua itu. Dan Hariz Arifi di hadapannya kini adalah seorang manusia yang jauh berbeza.
“Bila Allah lekatkan cinta di dalam hati saya kepada Masyitah, saya jumpa satu perkara.”
“Apa dia?”
“Kesederhanaan. Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa, Abang Ali. Tetapi dia datang dari kesederhanaan. Keluarganya sederhana. Dia dibesarkan dalam kesederhanaan. Kesederhanaan itulah yang membuatkan saya yakin dengan cinta yang Allah berikan kepada saya. Kesederhaan itulah yang membuatkan saya kembali melihat diri saya, kehidupan saya, pergerakan saya, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah saya.”
Dr Ali Zahidi tidak berkata apa-apa.
“Orang semua menyatakan bahawa perubahan saya adalah kerana saya berusaha sendiri. Dari satu sisi, mungkin benar. Tetapi sebenarnya, saya bergerak untuk berubah itu adalah apabila saya bertemu dengan kesederhanaan yang ada pada Masyitah dan keluarganya. Akhirnya jadilah saya sebagai saya yang hari ini. Jika Abang Ali menyatakan bahawa saya hari ini adalah seorang yang bermanfaat kepada ummah, maka tidakkah yang membentuk saya juga telah memberikan manfaat? “
“Ana hanya hendak enta pergi lebih jauh. Pada ana, enta boleh pergi lebih jauh lagi. Tengok ana hari ini. Ke hulu ke hilir memberikan penyampaian. Apabila ada isteri seperti Maryam yang mampu berdiri bersama-sama aku, kerja menjadi lebih mudah. Kini satu Malaysia sudah mengenali ana. Brunei, Indonesia dan Singapura juga sudah mula hendak memanggil ana.”
Hariz menggeleng. Senyumannya mekar hingga ke telinga.
“Jika itu hendak diukur sebagai kejayaan, dan sampai ke tahap itu yang Kak Maryam boleh bantu Abang Ali, pada saya, saya lebih dari itu.”
Mata Dr Ali Zahidi membesar.
“Kini, buku-buku dan novel-novel saya sudah mula hendak diterjemahkan ke pelbagai bahasa di seluruh dunia. Produser-produser filem turut menghubungi saya untuk memfilemkan beberapa novel saya. Syarikat Motivasi saya juga sudah mula berkembang keluar dari Asia Tenggara. Terdapat juga sambutan hangat dari Eropah. Kini Masters saya sudah hampir tamat, maka saya kira lepas ini bolehlah saya fokuskan sebentar kepada perjalanan kerja-kerja ini agar lebih kukuh sebelum saya menyambung ke PhD.”
Dr Ali Zahidi kelu.
“Abang Ali, Masyitah sendiri tidak perasan bagaimana hakikatnya dia telah membantu saya bergerak sejauh ini. Kehadiran Masyitah adalah anugerah Allah yang terbesar buat saya. Dia menghilangkan penat saya, mengubati gundah saya, menambah semangat saya, dan buat saya sentiasa kembali mengingati amanah yang Allah berikan kepada saya. Sebab saya cintakan Masyitah. Saya mahu masuk syurga dengan dia. Maka saya bersungguh-sungguh di atas dunia ini kerana itu. Biar saya boleh bawa dia masuk syurga.”
Dr Ali Zahidi akhirnya menggeleng.
“Ana tiada bicara untuk enta lagi. Maafkan ana kalau sudah mengganggu jiwa enta. Ana tersilap perhitungan.”
“Abang Ali, sebagaimana Kak Maryam itu bukannya Maryam ibu kepada Isa, begitulah juga dengan Masyitah saya. Sememangnya dia bukan Masyitah di Zaman Musa. Tetapi mereka masing-masing ada kelebihan. Kak Maryam dengan kelebihannya, mampu menonjol dan aktif dalam dakwah dan tarbiyah bersama Abang Ali. Masyitah pula, kelebihannya adalah memberikan kehidupan kepada saya.”
Dr Ali Zahidi mengangguk sambil tersengih.
“Sepatutnya, baitul muslim tadi enta seorang sudah lebih dari memadai. Ana malu dengan enta.”
“Tidak. Kita tetap kena bersama-sama. Siapalah saya jika dahulu Abang Ali tidak mendidik saya.” Hariz merendah diri. Kini matanya perlahan-lahan digalihkan kepada Masyitah.
“Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa. Saya hidup di dalam realiti, sebab itu saya mampu menerimanya.”
Dr Ali Zahidi hanya mampu mengangguk lagi.
Benar. Realiti.
Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas perkahwinan.
Tetapi nampaknya Hariz Arifi berbeza.
Dia membesar-besarkan segala kelebihan yang ada pada isterinya, walaupun hakikatnya kelebihan itu sebesar kuman cuma. Yang mungkin di mata orang lain, tiada apa maknanya.
Menyebabkan orang sepertinya jadi malu sendiri, berbicara dengan Hariz Arifi.
*****
Dia terbangun di tengah malam. Gegendang telinganya bergetar mengejutkan tubuh. Biasanya dia tidur nyenyak sahaja kerana setiap malam dia akan keletihan studi. Tetapi semenjak graduasi, dia sudah tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Dia sudah tidak perlu studi teruk-teruk seperti dahulu. Mungkin sebab itu lenanya juga senang terjaga. Dia sudah tidur awal.
Matanya memandang ke sudut bilik. Satu lembaga sedang duduk bersimpuh ditemani cahaya oren dari lampu tidur.
Hariz Arifi.
“Rajin betul suami aku ni.” Gumamnya. Malu sendiri. Hariz Arifi hanya mengejutkannya pada malam Jumaat. Tetapi dia tahu yang suaminya itu hampir setiap malam akan bangun melaksanakan qiamullail jika tiada keuzuran.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah.”
Eh? Masyitah? Nama aku. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Ingin mendengar dengan lebih jelas. Dia dapat melihat Hariz Arifi bersama kedua belah tangan yang terangkat.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Sesungguhnya aku amat mencintainya. Kau telah hadirkan dia sebagai penghidup jiwaku. Acapkali aku melihatnya, dia menumbuhkan kebahagiaan dalam hatiku. Maka ya Allah, rahmatilah dia.”
Tiba-tiba hati rasa sebak. Ayat-ayat yang terlantun menghentak gegendang telinganya agar bergetar itu, seakan tembus mendodoi jiwanya juga.
“Ya Allah, jadikanlah Masyitah itu wanita yang Kau redhai dan jagalah dia. Permudahkan segala urusannya. Golongkanlah dia dalam golongan orang yang berjaya, cemerlang dalam segala halnya, khususnya dalam ketaatan kepadaMu dan dalam perjalanannya menuntut ilmu.”
Aku pernah mendoakan dia tak? Tiba-tiba Masyitah mempersoalkan dirinya. Jangan kata doakan dia, doa untuk diri sendiri sungguh-sungguh pun sekali sekala sahaja. Ish…
Tiba-tiba mata rasa berkaca.
“Ya Allah, masukkanlah Masyitah itu dari kalangan ahli syurgaMu, redhailah dia Ya Allah, terimalah dia Ya Allah. Jadikanlah dia seorang yang beriman dan solehah. Lindungilah dia dari kejahatan dan kemungkaran.”
Air mata mengalir.
“Sesungguhnya aku amat mencintainya ya Allah. Maka cintailah dia. Sebagaimana Kau hidupkan jiwaku apabila melihatnya, maka hidupkanlah jiwanya untuk mencintaiMu dan menjadi hambaMu yang baik.”
Perlahan-lahan Masyitah baring dan berpaling mengiring dari arah Hariz Arifi.
“Amiin.”
Tangannya menggenggam selimut. Mulut mengungkap “Amin,” bersama air mata yang mengalir.
Ya Allah, rahmatilah suami aku.
Dan jadikanlah aku ini orang yang mampu menyenangkannya.
*****
“Kenapa ya tiba-tiba hendak bawa saya bercuti?” Soalan itu hadir diiringi dengan bunyi ombak memukul pantai.
“Tak boleh?” Burung camar menghiasi suasana.
“Boleh. Saya suka.” Mentari senja menambah keindahan.
“Ha, ingat sayang saya ini tak suka. Boleh saya tempah tiket balik hari ini juga.” Keadaan pantai yang sudah mula sedikit dengan orang ramai membuatkan mereka berdua dapat duduk-duduk dengan tenang.
“Tak naklah. Lawa sini. Pantai dia sangatlah cantik.”
“Awak cantik lagi.”
Diam.
Hariz memandang sebelahnya. Masyitah tunduk menekur pasir pantai.
“Kenapa diam? Ingat nak bangga-banga. Orang puji.”
“Speechless. Awak selalu puji saya itu ini. Lebih-lebihkan saya itu ini. Saya tak pandai nak main ‘jiwang-jiwang’ macam awak. Saya takut nanti lama-lama awak bosan dengan saya.”
“Haha. Bosan dengan awak? Habis, saya nak hidup macam mana kalau saya bosan dengan awak? Saya pun tak dapat bayang. Mustahil terjadi insyaAllah.” Sungguh-sungguh Hariz berbicara.
“Manalah tahukan. Awak takkan tak penat dengan saya?”
“Kan dah cakap tempoh hari? Lagipun, dalam hampir dua tahun ini, awak tengok saya layan awak, saya hidup dengan awak, ada pernah buat gaya penat selain bila saya balik kerja?”
Tak ada. Tetapi jawapan itu tinggal di kerongkong Masyitah sahaja.
“Awak tanya kenapa bawa awak bercuti kan?”
“Ya.”
“Lawa tak matahari itu?” Hariz memanjangkan tangan, menunjuk ke arah mentari dengan jari telunjuk. Matahari itu hampir terbenam ditelan horizon kerana senja.
“Lawa.”
“Awak adalah matahari saya.”
“Matahari?”
“Matahari adalah sumber tenaga. Matahari juga adalah paksi menjaga keseimbangan sistem solar kita. Matahari petunjuk arah. Awak adalah semua itu. Tanpa awak, saya samalah macam bumi tanpa matahari, gelap dan tidak hidup. Tanpa awak, saya samalah seperti sistem solar kita ini tanpa matahari, tidak seimbang dan bergerak ke arah kehancuran.”
Masyitah tidak mampu berbicara apa-apa. Hawa yang ada kini seakan-akan membuatkan dadanya sebak dan dia rasa seperti ingin menangis.
“Dan untuk jawapan kepada soalan kenapa saya bawa awak bercuti adalah…”
Apa lagi? Hariz Arifi, awak memang pandai buat jiwa saya tunggang terbalik.
“Selamat Hari Lahir.”
Masyitah terpana sebentar. Hari Lahir. Hari ini…
MasyaAllah.
“Haha. Dah agak dah dia lupa. Sibuk sangat studi. Bila dah graduasi, tarikh lahir sendiri pun lupa.” Hariz ketawa sendiri. “Percutian ini adalah hadiah hari lahir dan hadiah graduasi sekali. Boleh ya?”
Tiba-tiba air mata Masyitah menitis.
“Eh, awak, kenapa menangis?”
Segera Masyitah melentokkan kepalanya pada bahu Hariz.
“Kenapa ni?” Hariz menggosok perlahan belakang tubuh Masyitah.
“Terima kasih ya awak?”
Hariz menggelengkan kepala. “Saya yang patut ucap terima kasih sebab awak sudi kahwin dengan saya, berada di sisi saya.”
“Boleh tak bagi saya menang sekali dalam menghargai?” Masyitah yang sudah melekat pada bahu Hariz bersuara.
Hariz ketawa. Air mata meleleh pun boleh buat orang ketawa. Isteri aku ni kiut sungguh.
“Saya janji akan berusaha dengan lebih baik lagi. Biar benar-benar boleh menjadi matahari awak, ibarat Masyitah di zaman Musa, yang teguh terjun ke dalam didihan syurga.”
Hariz tidak menjawab. Hanya leretan senyuman. Matanya kekal memandang matahari yang semakin ditelan horizon. Masyitah damai di bahunya.
Di dalam hati tidak henti mengucap hamdalah.
Kebahagiaan ini, memang tiada bandingannya.
Isterinya memang bukan Masyitah di zaman Musa.
Tetapi dia adalah Tiara Masyitah, bidadari di dalam jiwa.
Yang Allah salurkan daripada Masyitah ini, kekuatan dan kehidupan kepadanya
Thursday, October 7, 2010
Teka -teki..apa yang sedap tapi busuk?
Dalam hidup seharian, kita takkan lari dari terlibat dari aktiviti mulut ini..
Mengumpat bukan sahaja sinonim dikalangan perempuan.. dikalangan lelaki pun apa kurangnya?
Maaf kaum lelaki, inilah kebenaran.
Tapi cuba kita renungkan bersama.. Kalau kita mampu elakkan diri dari mengumpat, tapi mendengar umpatan orang pula lebih kurang sama dosa dengan mengumpat...
Makna mengumpat tu seperti umumnya yang kita tahu.. bila kita mengata tentang sesuatu yang buruk .. dibelakang hamba Allah tu.
Dan bila dia tahu dia tentu marah atau kecil hati.. Dah nama pun mengumpat,tentu la berkongsi sesuatu yang tak baik kan?
Kadang-kadang kita tak nak terlibat dalam aktiviti senaman mulut kurang sihat ni, tapi cerita.. orang kata kalau tak mengumpat ni macam masakan tiada rasa..macam garam dan gula pula.. tapi kita sedar tak, perencah ni memang mahal dan terlaris sebab nak mengumpat ni dosa besar.
Dalam Islam,mengumpat ni seperti makan daging saudara seislam sendiri. MasyaAllah, sampai begitu sekali perumpamaan aktiviti senaman mulut ni!
Walaubagaimanapun pun, kita adalah hambaNya yang lemah. Itulah pentingnya kita saling ingat mengingatkan, bukan nak buruk-memburukkan.
Kalau keburukan diri dapat diterima dan cuba dikikis sebaiknya, siapakah kita untuk menilai keburukan orang lain?
Fokus kembali pada tips-tips nak elakkan mengumpat/sesi mengata ni..
01.Bila berkumpul dengan kawan-kawan..
dan bila rakan dah mula filem umpat dengan watak yang bertambah-tambah dan siap letakkan jiwa dan emosi lagi.
Masa tu, kalau dah bersama, mesti susah nak elak dari bubuh skrip tambahan.
Dinasihatkan masa ni la kita banyak-banyak Ingat Allah.
Sedar yang kita ni pun sama taraf dengan orang yang diumpat tu iaitu Hamba Allah.
Masing-masing ada kekurangan. Cepat-cepat istighfar, sambil tu tegurlah kawan sama.. Kalau tak dapat juga, sebaiknya kita pergi dari situasi ni.
02.Bila yang nak jadi moderator 'umpat2' tu kawan baik kita sendiri..
Apa kata kita ajak dia berbual tentang keburukan diri masing-masing?
Bila kita bercerita tentang baik buruk diri kita ni.. sekurang-kurangnya kita pun sedar banyak juga kekurangan kita.
Tak payah lah cerita semuanya, tapi cuba fikir.. rasanya kalau nak senaraikan pun mesti lebih tiga, lebih dari sepuluh? dua puluh?.. jadi layakkah kita nak bagi senarai keburukan orang, sedangkan senarai keburukan kita sendiri pun dah lebih dari sebakul.
03.Bila yang nak ajak mengumpat tu orang senior dari kita..
tentu payah benar nak buat sesi teguran kan?
Apa kata kalau tak dapat nak elak pun.
Sambil dia lafaz bait-bait mengata tu, kita pula sambung setiap ayat umpatan tu dengan doa.
Doakan sesiapa yang diumpat dengan ikhlas, supaya Seni0r kita tu pun sedar dengan sendirinya. InsyaAllah!
04.Bila terasa sakit hati dengan seseorang hamba Allah tu..
dan terasa nak cari kawan nak buka forum mengumpat, jom ambil wudhu secara Tertib.
Masa nak kumur-kumur tu, bacalah doa. Minta dipelihara lidah ni dari perbuatan yang memberi dosa.. InsyaAllah.
Semoga dengan itu, segala niat buruk tu terbatal sendiri.
05.Kalau kita selalu terlupa tentangNya, apa lagi bila tengah cerita panas atau gosip liar.
Masa ni nak istighfar pun berat sekali nak buat. Apa lagi nak muhasabah diri yang dah rebah kan?
Jadi.. sumbatkan lah telinga anda dengan lagu-lagu atau sebaiknya.. dengar bacaan alQuran ke.. nasyid ke.
Ini lebih baik dari bibir tu mengata hal-hal tepi kain orang.
Sedangkan tepi kain sendiri entah masih elok atau tak.. dah koyak ke.. atau tersangkut kat mana-mana..
Sebab tu kita ada dua telinga.. sebagai perumpamaan kita kena mendengar dua kali dulu sebelum bercakap sesuatu..
06.Bila nak mengata orang tu.. cuba bayangkan kita berada di tempat orang yang dikutuk tu.. agak-agaknya boleh tak jadi seperti Khalifah atau nabi terdahulu..
Bila diumpat, boleh pula beri hadiah.. siap doakan orang tu dirahmati Allah SWT.
Agaknya kita antara golongan yang bila tahu ada orang cakap belakang tentu rasa nak bagi penumbuk sulung pada orang berkenaan, paling tidak pun.. mengutuk dan buat la ayat makian paling pedas untuk dia.
Cuba kita ubah sedikit perspektif pemikiran kita.. bila kita diumpat, tu bermakna ada orang ambil berat,ada orang cuba nak beri ingat.. ada yang nak bagi pendapat.
Supaya dengan Tuhan kita terasa dekat.
Ujian tu taklah seberat kutukan yang nabi pernah terima dahulu kan...
07.Terakhir, minum air banyak-banyak..dimulakan dengan selawat dan bacaan basmallah.
Semoga dengan nikmat air tu, kita akan ringan untuk memujinya.
Banyak lagi tips yang ada.. tapi semuanya bergantung pada niat.
Niat untuk pelihara diri dan jaga ukhwah sesama saudara.
Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur.. setiap yang bersyukur akan sentiasa ingat yang memberi.
Tiada unsur nak sindir sesiapa cuma sekadar memberi peringatan buat diri sendiri dan pembaca yang sudi baca..
Sunday, October 3, 2010
Put Your Trust to Allah
Manusia..sering mengecewakan..bukan orang lain yang selalu mengecewakan kita(aku)..kita(aku) yang sering mengecewakan orang lain...(maafkan aku....)
DIA yang sering memberi tanpa kita meminta..memberi kepada semua..tidak kira yang sering mengingkariNYA..
Gembiralah hatimu walaupun hajatmu tidak ditunaikan..kerana Allah Maha Mengetahui...