Sunday, November 21, 2010

Syadid...

Saya teringat dalam sebuah buku karangan Atriza Umar berkenaan pejuang Islam kontemporari. Kata penulis, Islam ini meraikan seluruh manusia. Mungkin wujud dikalangan manusia itu seorang yang lemah lembut, mahupun mereka terdiri dari orang-orang yang tegas. Ada juga manusia yang ganas mahupun yang baik dan dilihat seorang yang penyayang. Buktinya, Allah letakkan kriteria-kriteria itu pada sahabat-sahabat Nabi suatu ketika dahulu jika diimbau retrospektif Zaman Nubuwwah. Sebagai salah satu contoh, Allah telah mentakdirkan Umar itu sebagai seseorang yang tegas, tetapi Abu Bakar diletakkan di dalam jiwanya sikap yang lemah lembut seperti Rasulnya, Muhammad SAW. Itulah indahnya Islam dalam meraikan ragam-ragam manusia.

Bila berbicara tentang kriteria-kriteria manusia ini (lebih-lebih lagi bila merujuk kepada Saidina Umar Al-Khattab), saya terpanggil untuk berkongsi dan mengutarakan beberapa pandangan setelah adik-adik usrah kebingungan berkenaan isu yang timbul melalui pembacaan mereka. Bukunya agak tebal, sebagai satu proses menganalisis pemikiran Salaf, mereka mengajukan soalan kepada saya berkenaan Persoalan Bida'ah yang di karang oleh Syeikh Abdul Aziz Bin Baz, salah seorang mufti Arab Saudi (kalau tak silap saya...). Adik-adik saya terkejut apabila mendapat tahu diantara perkara yang diharamkan oleh Islam mengikut fatwa Syeikh Abdul Aziz adalah mengucapkan tahmid setelah sendawa dengan hujahnya :

"Saya (Syeikh Abdul Aziz) katakan HARAM kerana perkara itu tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW, bahkan Nabi SAW bersabda : " Setiap perkara yang diada-adakan (seperti bertahmid selepas sendawa) itu adalah perbuatan bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat". Maka, ia adalah jelas bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang haram..."
Saya tersenyum pada adik-adik sambil bersuara : " Kadang-kadang itu, memang ada sesetengah ulama' yang 'syadid...."'. Mereka semua mengangguk kononnya tanda faham. Kalau syahid mungkin perkara yang biasa mereka dengar atas gelaran yang ada pada Asy- Syahid Imam Hassan Al-Banna. Tetapi, adakah mereka tahu 'syadid' itu apa?

SYADID : AZIMAH - MENOLAK PENGHARMONIAN USLUB DAKWAH ?

Suatu ketika Imam Hassan Al-Banna di usia remaja, beliau pernah melakukan kesilapan dalam metodologi dakwahnya. Diringkaskan semasa mengaji di Madrasah Darul Ulum, beliau pernah dipanggil oleh Jabatan Pelajaran dimana ketika itu sedang melakukan lawatan di madrasahnya.

Imam Hasan al Banna dimarahi kerana berpakaian jubah dan juga memakai serban. Sedangkan di sekolah pada ketika itu, pelajarnya memakai tarbus dan juga berseluar. Beliau tetap bertegas dgn pendiriannya (azimah) kerana mengamalkan Sunnah Nabi. Sampai dilihat ketika itu, hampir berkelahi antara mereka keduanya. Kemudian berlaku juga perkara yg sama sewaktu majlis konvokesyen. Akhirnya, beliau akur dengan nasihat pengetua yg merupakan guru yang sangat dihormati pada ketika itu..

Kesimpulannya, bersikap 'azimah' dlm segala hal akan mendatangkn byk kemudaratan berbanding bersikap 'rukhsah' demi untuk kemaslahatan ummah.

SYADID : DALAM ISU IKHTILAT...

Kata Rasulullah SAW dalam sebuah hadith : "....Hendaklah engkau berhati-hati dengan dunia dan wanita, maka sesungguhnya fitnah yang pertama datang dari wanita Bani Israil" (Al-Hadith).

Bila berbicara bab 'syadid' dalam ikhtilat ini, saya agak setuju dalam perkara-perkara kebanyakan (walaupun saya ini tidaklah mampu menjadi se'syadid' sahabat-sahabat yang saya kenal) . Umat akhir zaman ini sangat susah untuk lari daripada fitnah. Kata seorang sahabat, seteruk-teruk fitnah yang datang kepada kita adalah daripada Iblis Laknatullah.. Serendah-rendah fitnah yang datang kepada kita adalah sangka buruk pada sahabat.

Sebab itu, bila Nabi SAW keluar dengan isterinya di padang pasir yang gelap gelita (dalam salah satu kisah Nabi SAW bersama isterinya Safiyyah), apabila ada sahabat yang perasan bila Rasulullah berjalan dengan seorang wanita di padang pasir (walaupun sesuatu yang mustahil untuk seorang nabi melakukan maksiat), Nabi tetap membuat beberapa penjelasan untuk elakkan fitnah itu. Kata Nabi SAW :

"Wahai sahabat-sahabatku. Boleh jadi pada waktu ini kamu sudah mengganggak aku berjalan bersama isteriku walaupun kamu tidak nampak.Boleh jadi juga syaitan membolak-balikkan hati kamu agar kamu buruk sangka ke atas aku.. Maka ketahuilah bahawa bersama aku adalah isteriku, Suffiyyah"
KESIMPULAN

Islam memperakui bahawa manusia itu dilahirkan dengan keinginan beragama dan menjadi seorang manusia yang soleh. Islam itu agama fitrah. Bahkan ajaran dan syariatnya tidak mempunyai satu metodologi yang khusus, sekadar menyediakan beberapa kaedah fiqqiyyah oleh ulama'-ulama muktabar. Andai sesuatu fatwa itu thabat (tetap) dan 'syadid' (keras), Al-Quran dan As-Sunnah pasti terkandungnya hujjah. Tetapi, jika manusia yang men'syadid'kan, maka ketiadaan rukhsah (kelonggaran) memberi 'fitnah' kepada pengamalan Islam.


mood : think out of field

No comments:

Post a Comment