Tuesday, January 4, 2011

Bait Muslim bukan 'insurans' Keluarga Bahagia





Isu yang agak hangat diperbincangkan warga ITQAN ~ Intelectual Bil Akhlakil Quran ketika ini~ Bait Muslim..

Al-maklumlah kursus kahwin yang melibatkan pelajar semester 6 bakal dilangsungkan di Darul Quran pada hujung minggu ini.Maka ramai yang mula membincangkan isu ini..(sebenarnya dari awal semester 5 pun sudah ada yang berbisik-bisik tentang isu ini)


Artikel daripada Saudara Hilal Asyraf memang ada kebenarannya. Cumanya, kefahaman masing-masing sangat berbeza. Bagi saya, Baitul Muslim masih lagi dalam lingkungan yang sama, iaitu mencari jodoh.

Cuba anda bayangkan, jika seseorang itu telah menyempurnakan Fardu Muslimnya, kemudian berusaha kepada peringkat kedua, bukan kah pencarian jodoh yang baik itu diperlukan? Sebab itulah, ada banyak hadith-hadith Nabi berkenaan mencari jodoh, bukan sekadar picisan yang difikirkan oleh sesetengah ustaz atau ustazah.


Saya bukanlah diantara orang yang sudah di 'baitul muslim'kan (dalam erti kata mencari jodoh), tetapi memahami hakikat bahawa setiap muslimin dan muslimah itu perlu kepada perkahwinan sefikrah, agar boleh bergerak dalam perjuangan dan juga rumah tangga dengan seiya-sekata. Bayangkan, suaminya keris, isterinya bulan purnama... macam mana lah si muslimah itu mahu pergi ke usrah?

Sebab itu, saya masih mempunyai pemikiran sebegitu, mencari jodoh adalah kunci utamanya. Baitul Muslim bukanlah insurans kepada keharmonian rumah tangga. Perlu kepada sinergi yang mampu melahirkan mawaddah dan sakinah.











Sedikit pandangan daripada pembacaan saya terhadap artikel dibawah :

MUSLIMAH LEMBIK SEBAB FIKIR BAITUL MUSLIM?
Pengarang : Hilal Asyraf (ms.langitillahi.com)

Ada yang mengemukakan kepada saya, pandangan bahawa ada yang menyatakan yang Muslimah pada zaman ini lembik kerana hanya tahu memikirkan Baitul Muslim. Dinyatakan bahawa, mereka ini hanya tahu membincangkan Baitul Muslim, tetapi tidak tahu membincangkan perjuangan ummah. Sebab itu mereka ini lembik.

Hem. Saya tertawa juga sebenarnya bila orang kemukakan begitu kepada saya.

Lembik, sebab fikir Baitul Muslim?

Tetapi apabila saya fikir-fikir kembali, baiklah, saya dapat. Ada kebenarannya dalam pandangan itu. Tinggal, pada saya, memanah pandangan itu secara umum sedemikian rupa adalah tidak kena sebenarnya. Sebab Baitul Muslim sebenarnya adalah isu yang amat penting di dalam pembinaan Daulah Islamiyyah, dan merupakan antara wasilah terpenting dalam memastikan kelansungan tarbiyah dalam kehidupan insan.

Namun saya akui, salah cara memandang Baitul Muslim, memang akan membawa kepada ke’lembik’an. Tinggal, saya kira, sebenarnya adalah untuk semua. Bukan muslimah sahaja. Muslimin pun boleh jadi lembik kalau fikir Baitul Muslim ini tidak kena pada caranya.


Baitul Muslim = Cari Jodoh? Saya kata tidak.

Pertamanya, ramai yang tidak memahami apakah sebenarnya Baitul Muslim. Ramai yang akhirnya tersesat ke satu solusi seperti tajuk subtopik kita, yakni Baitul Muslim disamakan dengan pencarian jodoh, pencarian pasangan dan sebagainya.

Kesilapan kefahaman inilah yang membawa kepada ke’lembik’an apabila Baitul Muslim diperbincangkan. Maka yang disibukkan nanti adalah isu “adakah si fulan bin si fulan atau si fulanah binti si fulan itulah yang ditakdirkan untuk aku?”, “saya termimpikan si dia, apakah dia orangnya?”, “saya nampak tanda di langit, tiba-tiba hati saya teringatkan dia. Apakah itu tandanya?” dan sebagainya.

Diri juga akan menjadi sibuk dengan isu: “Mencari Pasangan Yang Ditakdirkan.” Sibuk hanya dengan ciri-ciri pasangan kirana dan sebagainya.

Baitul Muslim seakan-akan menjadi satu fikrah pencarian jodoh, melibatkan isu-isu takdir dalam jodoh, istikharah, ciri-ciri pasangan dan sebagainya.

Kalau kita memahami bahawa Baitul Muslim hanya setakat itu, atau dalam erti kata lain, kita melayan Baitul Muslim dengan etika sedemikian semata-mata, maka benarlah membincangkan Baitul Muslim akan melembikkan pemikiran semua.

Sebab Baitul Muslimnya hanya sekadar di gerbang perkahwinan.


Baitul Muslim yang sebenarnya

Sebenarnya, pada pertama sekali, mengapakah istilah Baitul Muslim seakan-akan diangkat menjadi agenda besar dalam kehidupan seorang mukmin?

Kita lihat semula ya mengapa isu ‘Baitul Muslim’ adalah isu yang hangat. Bukan kerana Baitul Muslim adalah isu jodoh, mencari pasangan, cinta dan sebagainya. Lihat semula pada perkataan Baitul Muslim. Apakah maksudnya?

“Rumah Orang Islam.”

Maka kita kembali kepada asalnya.

Istilah Baitul Muslim muncul apabila kita membincangkan berkenaan perjuangan untuk mengembalikan Islam sebagai perlembagaan dalam kehidupan. Maka hendak merealisasikan perkara itu, perlulah kita jalankan satu strategi jangka panjang, yang dinamakan takwin fardhil muslim. Takwin Fardhil Muslim bermaksud - Pembentukan Individu Muslim yang perlu digerakkan dalam setiap peringkat berikut:

Individu muslim - rumah tangga muslim(Baitul Muslim) - masyarakat muslim - kerajaan muslim - khilafah islam - empayar islam - Islam sebagai ustaziatul alam(pentadbir seluruh alam ini).

Baitul Muslim menjadi isu besar adalah kerana ia merupakan antara marhalah yang wujud di dalam perjalanan merealisasikan terbinanya Islam sebagai daulah yang mentadbir alam ini. Itulah sebabnya muncul perbincangan berkenaan Baitul Muslim.

Baitul Muslim dilihat sebagai batu-bata yang membina bangunan Daulah tadi. Merupakan satu peringkat penting dalam strategi untuk melihat kembalinya Islam diambil sebagai perlembagaan hidup. Hal ini kerana, keluarga adalah institusi terpenting dalam melahirkan para mujahid, pejuang di jalan Allah, da’ie, penyeru di jalan Allah SWT.

Inilah dia origin Baitul Muslim yang sebenarnya. Baitul Muslim adalah hakikatnya agenda perjuangan untuk melihat Islam itu kembali tertegak sebagai satu sistem yang memerintah dunia. Bukan semata-mata isu jodoh, solat istikharah, mimpi-mimpi, ciri-ciri pasangan dan sebagainya.


Apabila dipisahkan Baitul Muslim daripada originnya.

Apabila perbincangan isu jodoh, ciri-ciri pasangan, tidak dikaitkan dengan perjuangan membina daulah Islam, ini akan menghasilkan perbincangan kosong yang tidak membawa makna. Hanya satu keseronokan bermain ’tilik nasib’ untuk ‘mencari pasangan yang ditakdirkan’ semata-mata.

Inilah dia yang membuatkan perbincangan Baitul Muslim, berputar dalam bulatan yang tiada akhirnya. Tidak memberikan manfaat. Bahkan tidak membina jati diri seorang mukmin. Juga tidak memberikan mudharat kepada jahiliyyah.

Sedangkan Baitul Muslim apabila diteliti, lebih dari sekadar isu ciri-ciri pasangan, istikharah mencari pasangan, jodoh dan cinta semata-mata. Baitul Muslim juga menitik beratkan pembinaan peribadi mukmin itu sendiri di dalam diri kita. Membincangkan isu-isu tarbiyah pasangan dan pembinaan anak-anak. Menyebabkan isu-isu seperti tanggungjawab diri, kebersihan diri, disiplin diri, hubungan dengan Allah SWT, semuanya diangkat naik dalam perbincangan Baitul Muslim ini.

Bukan semata-mata cari jodoh, istikharah, mimpi nampak apa, mimpi saya benar atau tidak, oh mungkin dialah yang ditakdirkan untukku, ciri-ciri dia cukup ke ha untuk jadi pasangan aku, ciri-ciri aku ni layak ke nak dapat isteri seperti Khadijah dan sebagainyalah.

Apabila Baitul Muslim itu dipisahkan daripada isunya yang sebenar - salah satu peringkat dalam agenda membina kembali daulah Islamiyyah - jadilah pembincang-pembincang Baitul Muslim merupakan orang-orang lembik yang meninggalkan perjuangan ummah.


Penutup: Baitul Muslim yang ori, itu yang patut hangat diperbincangkan


Saya masih ingat pada zaman saya sendiri tertipu dengan istilah Baitul Muslim itu. Saya dulu pun fikir Baitul Muslim ini isu cari jodoh, pilih pasangan, cinta dan sebagainya. Akhirnya bila fikir semula, semua itu tidak membawa manfaat kepada diri. Tidak membawa peningkatan pada diri. Yang ada hanyalah mudarat.

Tetapi apabila faham apakah sebenarnya Baitul Muslim, mula dididik dengan serius berkenaan pembentukan peribadi mukmin, di situlah bermulanya penglihatan yang besar kepada isu tanggungjawab, isu tarbiyah diri, isu disiplin diri, isu mempersiapkan peribadi untuk menjadi murabbi kepada keluarga dan sebagainya. Di situlah mula rasa untuk menggerakkan diri.

“Berusaha ke arah mampu.”

Itu istilah yang saya suka guna pakai. Sebab kalau nak kata ‘mampu’ membina baitul muslim, entah sampai bila baru boleh tahu diri ini mampu atau tidak bukan? Sekurang-kurangnya, disiapkan target menggerakkan usaha-usaha ke arah mampu itu.

Itulah hasil Baitul Muslim yang ori, apabila diperdalami. Mustahil menghasilkan kelembikan bukan? Kalau bincang yang ori la

Tetapi kalau dibincangnya hanya sekadar jodoh, cinta, istikharah betul ke tak betul, memang pusing-pusing macam mana sekalipun, paling boleh pergi jauh pun gerbang perkahwinan sahaja.



p/s: Harap tidak menjadi kontroversi..sekadar merespon kepada isu persekitaran..


No comments:

Post a Comment