Saturday, October 9, 2010

So Sweet... Masyitah...


Ya Allah letihnya! Hariz Arifi membentak di dalam hati. Tali leher yang sudah dilonggarkan, ditarik. Kunci kereta dicabut dari tempatnya. Briefcase diambil dari tempat duduk belakang sebelum dia membuka pintu dan keluar dari Camrynya.


Kerja yang banyak di universiti tadi membuatkan kepalanya macam sedikit berpinar. Perlahan-lahan dia menarik nafas menghirup udara segar halaman rumahnya yang menghijau. Sebelah tangan yang tidak memegang beg dilarikan ke belakang leher, mengurut-ngurut perlahan.


“Ish,ish. Kenapa gaya macam tak makan setahun sahaja ni?” Satu suara lembut menyapa gegendang. Pantas Hariz menoleh ke arah pintu rumah. Matanya terus terpaku di situ.


Seorang perempuan bercermin mata, bertudung labuh, bersama baju lengan panjang yang labuh dan seluar riadhah. Nampak sederhana. Mungkin sahaja orang lain akan menyatakan bahawa perempuan ini biasa sahaja, tiada yang istimewa. Tetapi untuk Hariz Arifi, wanita di hadapannya kini adalah satu-satunya bidadari yang wujud di atas dunia yang fana ini.


Tanpa sedar, kakinya melangkah ke arah perempuan itu. Wanita itu sedikit terkejut melihat Hariz Arifi yang semakin mendekat dengannya. Beberapa langkah kemudian, jarak antara Hariz Arifi dengannya sudah tinggal sejengkal sahaja. Dia terpaksa mendongak sedikit untuk memandang Hariz Arifi yang lebih tinggi berbandingnya.


“Kenapa?” Perempuan itu bertanya teragak-agak. Kebisuan Hariz Arifi membuatkannya tertanya-tanya.


Hariz Arifi meletakkan beg di tangan. Kemudian memandang sekali lagi perempuan itu sedalam-dalam. Perempuan itu mengangkat kening. Ada apa-apa yang tidak kenakah? Hati bertanya.
Tiba-tiba Hariz Arifi menggores senyum. Terus dipeluk perempuan itu seerat-eratnya.


“Tata, rindunya saya pada awak!” Sambil menggoyangkan tubuh perempuan itu sedikit ke kiri dan ke kanan.


“Apa buat gaya seribu tahun tak jumpa ni? Terhantuk stereng kereta? Malulah kalau orang nampak. Kita di hadapan rumah ni.” Perempuan itu terkejut dengan reaksi Hariz Arifi. Spontan kedua belah tangannya bereaksi untuk menolak tubuh Hariz Arifi. Hariz Arifi perlahan-lahan meleraikan rangkulannya. Senyumannya masih belum hilang. Mata mereka berdua bertemu.


“Tata, bila tengok muka awak, semua kepenatan saya hilang.” Hariz mencubit kedua belah pipi perempuan di hadapannya.


“Yalah tu. Cukup-cukuplah jiwang karat awak tu. Lemas saya.” Perempuan itu menarik kedua belah tangan yang mencubit pipinya, kemudian menunduk mengambil beg Hariz Arifi tadi.


“Lagi satu, sejak bila nama saya jadi Tata ni ha? Ingat Bas Tata MATRI ke?” Dia mencebik sebaik sahaja berdiri tegak semula.


Senyuman Hariz Arifi semakin lebar. “Masyitah, jadi Tata. Itu panggilan manja saya pada awak.”


“Tak naklah. Ada patut Tata.” Perempuan yang bernama Masyitah itu berpaling dan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah.


“Comel apa Tata. Kiut.”


“Habis tu, awak saya panggil Haha nak tak?” Masyitah memandang Hariz Arifi yang kini berjalan beriringan dengannya ke bilik.


Pecah ketawa Hariz. “Comel jugak tu. Tata dan Haha. Kalau ini status Facebook, saya dah ‘like’ awal-awal.”


“Senget.” Hariz ditolak lembut. Akhirnya Masyitah juga ketawa.


“Saya tak mahu Tata. Saya nak Masyitah. Harapnya, boleh menjadi Masyitah seperti di zaman Musa.”


Tawa Hariz Arifi terhenti. Bertukar dengan senyuman manis.


“Saya sentiasa doakan awak semoga mampu mencapainya. Tiara Masyitah.”
Masyitah turut tersenyum.
Sampai di hadapan tangga, Masyitah hendak naik tetapi Hariz menuju ke dapur.
“Eh, nak pergi mana? Tak nak naik dulu?”


Langkahan Hariz terhenti. Matanya menyapa wajah Masyitah. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng. “Puan Masyitah, saya nak pergi memasak. Saya tahulah awak kaki diet. Tapi takkan tak nak makan langsung? Tak benarkan saya ke dapurkah?” Dan tanpa menunggu jawapan, Hariz Arifi bergerak ke dapur meninggalkan Masyitah dengan senyuman.
Masyitah menggeleng.


Baru tadi muka macam orang tak makan seribu tahun.
Balik memasak pula? Ini yang aku tak nak dulu. Ish…


Akhirnya langkahan dikorak naik ke atas untuk meletakkan beg, tidak menghiraukan desiran di dalam hati. Namun perasaan itu tidak akan hilang begitu sahaja. Semestinya.
Memang namanya Masyitah.


Tetapi dia bukanlah sebaik Masyitah di zaman Musa. Hanya berharap untuk menjadi sepertinya sahaja. Belum tahu mampu mencapainya atau tidak.


*****
“Kahwin dengan Hariz Arifi?” Matanya membesar. Terkejut.


“Em, dia berhajat kepada Masyitah. Apa pandangan Masyitah?” Ibu bertanya lembut.
“Eh, tak naklah!” Segera dia menjawab.


“Kenapa?”


“Er…” Macam mana hendak menjawab soalan ‘kenapa’ ini ya? Sepatutnya pertanyaan itu dilontarkan kepada Hariz Arifi. ‘Kenapa’ dalam banyak-banyak perempuan di dunia ini, dia yang menjadi pilihan hati?


“Syitah tak sedia la Ibu. Syitah muda lagi. Baru habis SPM. Lagipun…” Ibarat bertih jagung, pantas dia memberikan alasan. Hatinya macam dihimpit-himpit dengan tekanan yang amat berat.


“Lagipun?”


“Dia Hariz Arifi. Ibu bukan tidak kenal siapa Hariz Arifi.”


Ya. Hariz Arifi. Beberapa tahun lebih tua daripadanya. Masyitah kenal akan dia. Merupakan senior di sekolah lamanya. Tetapi kini, bukan sedikit orang yang mengenali nama itu. Umur masih muda tetapi pemikirannya kadangkala menakjubkan veteran-veteran di dalam kehidupan. Gerak langkah pemuda itu pantas. Kerja pemuda itu adalah memperbaiki dirinya sambil mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Semua itu dilakukan semasa belajar di luar negara. Hari ini nama itu semakin meningkat naik di Malaysia. Hampir semua kawan-kawan Masyitah mengenalinya. Begitu juga dengan jiran-jirannya.


Kahwin dengan orang macam itu?
Mampukah aku?


Diri banyak perkara masih belum diperbaiki. Masih rasa terlalu muda untuk segala tanggungjawab. Masih rasa ingin berseronok itu dan ini. Kahwin? Umur baru 18!


Serabut kepala memikirkannya.


Kenapa tak pilih mana-mana pembawa usrah di sekolah mereka dahulu yang kini masih aktif di universiti masing-masing?
Kenapa dia?


“Ibu, tolaklah ya?”


Ibu menghela nafas. “Baiklah Masyitah. Ibu ikut sahaja apa yang Masyitah senangi. Tetapi Ibu sukalah dengan Hariz tu.”


Masyitah diam. Masalahnya, aku tak mampu. Muda lagi. Itu satu hal. Hal yang lebih besar lagi, adalah aku ini tak sama macam Hariz itu. Aku tidak sebaik Masyitah penyisir rambut anak Firaun!


Pap!


Lamunan kenangan yang terimbas itu pecah begitu sahaja. Kedua belah telapak tangan Hariz yang bersatu di hadapannya. Terus ditolak lelaki itu. “Awak!”


“Termenung apalah tu sampai saya datang pun tak perasan. Teringat saya ya?”


“Tekan lif naik sendirilah.” Masyitah memuncung. Matanya kembali kepada nota-nota di atas meja jepun. Sempat bola matanya menyapa buku-buku yang berselerak dan komputer riba yang hidup di tempat yang sama. Penuh meja jepun itu dengan barang-barang studinya.
Hariz menarik garisan manis pada bibir. Tubuhnya dirapatkan dengan tubuh Masyitah.


“Ini kenapa ni? Encik Hariz Arifi, Tiara Masyitah mahu studi ni. Minggu depan saya final exam.”


“Garangnya.” Pipi Masyitah ditarik lembut.


“Ish!” Tangan itu ditepis. Hariz ketawa.


“Awak, dari kacau saya, baik awak buat tesis awak tu. Kata nak habis Masters sama-sama dengan saya graduasi.”


“Tesis saya sudah hampir siap. Itu sebab saya kacau isteri yang ter’chenta’ ini.”


“Jahat!” Pantas sebelah tangan Masyitah mencari pinggang Hariz. Hariz mengelak dengan segera. Akhirnya mereka berdua ketawa. Masyitah sampai menggeleng.


“Tadi terfikir apa? Saya keluar dapur, masuk dapur, keluar dapur semula awak masih termenung lagi. Susah sangat studi sampai terfikir nak melancong ke Zargus ke?”


“Ada pula macam itu. Ingat orang studi sampai sewel?” Masyitah sengih.


“Manalah tahu.”


“Teringat masa awak propose saya pada Ibu.”


“Oho.”


Suasana jadi sepi sebentar. Bunyi desiran kipas mengisi ruang.


“Akhirnya kahwin juga kita ya?” Hariz menatap Masyitah.


Masyitah mengangguk perlahan. Perkahwinan mereka baru berusia setahun setengah. Hariz Arifi sudah hampir menamatkan mastersnya, manakala Masyitah pula sudah hampir menyelesaikan ijazahnya.


“Menyesal tak?” Tiba-tiba Masyitah melontarkan soalan, mengundang angkatan kedua-dua kening Hariz Arifi.


“Menyesal?”


“Kahwin dengan saya?”


Hariz Arifi tersengih. Kemudian menggeleng. “Tak pernah menyesal.”


“Betul? Kahwin dengan orang tak pandai masak, tak solehah, tak menonjol dalam dakwah dan tarbiyah,” Masyitah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Hariz setia mendengar.


“Tak hafal Al-Quran banyak, tajwid pun tak hebat, asyik kena kejut Subuh hari-hari, ibadah sunat kurang, Tak lovely, asyik studi sahaja, Tak pandai layan awak, tak…” Dan bicara Masyitah terhenti di situ. Jari telunjuk Hariz Arifi sudah melekat pada bibirnya. Mata mereka bertemu.


“Saya tak perlukan semua itu. Bukankah saya sudah kata sebelum kahwin, yang saya mahu daripada awak hanyalah awak berada di sisi saya sahaja. Saya tidak minta lebih daripada itu.” Jari telunjuk itu diturunkan. Kedua belah tangan kini mencari tangan Masyitah. Memegang erat tangan lembut itu.


“Untuk saya, cukup sekadar awak bernafas di sisi saya. Biar saya yang masak, biar saya yang kemas rumah, biar saya yang baca Al-Quran untuk awak, biar saya yang hari-hari kejut awak Subuh, biar saya yang lovely, biar saya yang caring, biar saya yang asyik layan awak. Biar saya semua.” Hariz Arifi menyempurnakan bicara.


“Saya bukan Masyitah di zaman Musa. Setahun setengah ini, banyak saya sudah susahkan awak. Lebih-lebih lagi hal dakwah dan tarbiyah. Sahabat-sahabat lain yang macam awak, isteri mereka semua hebat-hebat. Semua ke hadapan sama-sama. Saya…” Masyitah menunduk.


“Mana ada awak tak bantu dalam dakwah dan tarbiyah?”


“Eh? Ada saya bantu?” Masyitah berfikir. Ada bagi ceramah? Tak ada. Ada bagi idea? Pun tak ada. Ikut program sebagai orang biasa sahaja adalah. Menjadi penggerak, pemikir, tak pernahlah pula.


“Ada. Bila awak ada di sisi saya, saya jadi kuat. Bila saya jadi kuat, saya lebih bersemangat dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Bila saya bersemangat melaksanakan dakwah dan tarbiyah, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar. Bila kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar, insyaAllah ramai orang akan mendapat manfaat.”


Masyitah terpana. Garis manis pada bibir Hariz tidak pudar. Tangan Hariz semakin erat memegang tangan Masyitah.


“Bukankah awak telah membantu? Tak puas hati lagi?” Hariz merapatkan dahinya ke dahi Masyitah. Wajah Masyitah kemerahan.


“Tapi…”


“Tak ada tapi-tapi lagi. Eh, kenapa la awak fikir benda ini hari ini? Sudahlah. Minggu depan hendak final exam. Nanti serabut kepala otak. Mari makan. Saya sudah siap hidang di dapur tu. Hari ini saya masak special. Sotong masak sambal kegemaran awak.” Hariz bangun.
Masyitah diam. Tidak mampu berkata apa-apa.


“Lah. Bangun pun nak saya tolong? Romantiknya.” Hariz menghulurkan tangan apabila Masyitah tidak bangun-bangun.


Masyitah mencebik. “Senget.” Masyitah menyambut tangan Hariz, dan suaminya itu membantu dirinya bangun. Mereka berjalan beriringan ke dapur.


Hariz ketawa. Di dalam hatinya dia bahagia. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Tiada apa yang lebih mendukakannya melainkan kedukaan bidadari jiwanya ini.
Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini kepadanya.


Kepada seorang Tiara Masyitah.


*****
“Dijemput pasangan suami isteri Dr Ali Zahidi dan Dr Maryam Umairah!”


Sepasang suami isteri berjalan beriringan sebaik sahaja pengerusi majlis melaung nama. Tepukan kedengaran memenuhi dewan.


“Kini dijemput pula, Hariz Arifi, motivator kita.”


Hariz Arifi bangun dari kerusi yang telah dikhaskannya di barisan hadapan.


“Maaf ya awak. Saya malu nak ke hadapan.” Masyitah menarik hujung kot Hariz.


Hariz menarik senyuman. Menggeleng. “Awak ada ini pun sudah cukup.” Tangannya menyentuh pipi Masyitah.


Langkah diatur menaiki pentas. Ada empat kerusi untuk ahli panel sebenarnya. Majlis ini adalah perkongsian dua pasangan suami isteri. Tetapi satu kerusi kosong. Itu sebenarnya tempat buat Masyitah.


“Maaf, bidadari saya sangat pemalu. Jadi saya kira saya seorang sahaja di atas ini.” Hariz membuat gaya ‘peace’.


“Lagipun, saya takut ter’overshadow‘ pasangan Abang Ali Zahidi dan Kak Maryam Umairah saya ini.” Matanya memandang pasangan suami isteri di sebelahnya, sambil tangan menyapa lengan Dr Ali Zahidi. Seniornya ketika di sekolah dahulu.


Ucapannya disambut tawa dewan. Dr Ali Zahidi menyambut gurauan itu dengan senyuman. Begitu juga Dr Maryam isterinya.


Forum Baitul Muslim yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa anjuran NGO bernama HALUAN itu bermula.


*****
“Macam mana?” Soalan dikeluarkan.


“Macam mana apa?” Hariz memandang Dr Ali Zahidi.


“Macam mana hidup dengan Masyitah?” Dr Ali Zahidi menunjuk kepada meja perempuan.


Kelihatan isterinya, Dr Maryam sedang makan bersama dengan Masyitah.


“Amat amat amat bahagia.” Senyuman Hariz melebar.


Dr Ali Zahidi mengangguk sambil mata garfu dibenamkan pada daging sebelum sudu di tangan kiri membuatkan daging itu menjadi lebih kecil.


“Sebenarnya, ana tak sangka enta pilih dia.” Dr Ali Zahidi bersuara selepas menelan makanannya. Matanya memandang tepat Hariz.


Hariz yang baru sahaja hendak menyuap makanannya tidak jadi berbuat demikian. Senyumannya yang tadi melebar, menjadi kendur.


“Kenapa Abang Ali cakap begitu?”


“Yalah. Dalam organisasi kita ini, ramai lagi akhawat yang berkaliber. Yang boleh bersama-sama dengan enta dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini. Yang boleh ke hadapan dengan enta.”


Hariz diam.


“Memilih yang telah siap diproses, lebih mudah. Maka kita boleh buat banyak kerja lagi. Boleh bergerak lebih jauh lagi.”


“Teorinya, itu memang benar.”


“Jadi? Kenapa dulu enta pilih dia?”


“Sebab dari segi praktikalnya, teori itu tidak berjalan buat saya.”


“Em?” Dr Ali Zahidi tidak dapat menangkap maksud Hariz.


“Abang Ali, Rasulullah SAW pesan untuk kita mencari wanita yang baik agamanya.”


“Ya.”


“Masyitah dari segi asas agama, dia jelas.”


“Ok.”


“Jadi saya tidak perlukan sebab tambahan. Hal ini kerana, Allah bagi saya jatuh cinta kepada dia. Saya tidak perlukan apa-apa sebab lain selain perasaan ini. Saya tidak berkahwin dengan dia kerana apa-apa. Saya berkahwin dengan dia kerana dia. Kerana dia itu Tiara Masyitah. Bukan kerana dia itu Masyitah seperti Masyitah di zaman Musa.”


“Yalah. Tetapi bukankah lebih bagus enta pilih yang seperti Masyitah di zaman Musa? Yang berani ke hadapan menegakkan kebenaran. Ini hendak berkongsi pun tidak mahu. Apa manfaatnya kepada masyarakat? Berkahwin dengan orang macam dia, enta nak selalu tinggalkan rumah pun tidak boleh.”


Hariz menghela nafas.


“Abang Ali. Apa pandangan Abang Ali terhadap saya. Apakah saya ini bermanfaat kepada masyarakat?”


Dr Ali Irfan mengangguk. “Sebab itu ana cakap perkara ini. Orang macam enta, rugi jika bersama dengan orang seperti Masyitah. Enta masih muda, sebab itu ana berbicara akan hal ini. Ana berpesan kepada enta sebagaimana pesan Ibrahim kepada Ismail. Tukarlah.”
Hariz tersengih.


“Tahukah Abang Ali bahawa, saya menjadi bermanfaat sebagaimana yang Abang Ali nyatakan itu hari ini, dengan kehadiran siapa?”


Dr Ali Zahidi diam.


“Dia.” Hariz menunjuk kepada Masyitah yang khusyuk bersama Dr Maryam.


“Kita kenal semenjak sekolah menengah Abang Ali. Abang Ali tahu saya ini macam mana dahulu. Walaupun saya aktif dalam dakwah dan tarbiyah di sekolah, saya panas baran, tidak sabar, keras kepala dan sebagainya. Saya juga lemas dalam kekayaan keluarga saya.”


Dr Ali Zahidi mengangguk. Dia ingat semua itu. Dan Hariz Arifi di hadapannya kini adalah seorang manusia yang jauh berbeza.


“Bila Allah lekatkan cinta di dalam hati saya kepada Masyitah, saya jumpa satu perkara.”


“Apa dia?”


“Kesederhanaan. Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa, Abang Ali. Tetapi dia datang dari kesederhanaan. Keluarganya sederhana. Dia dibesarkan dalam kesederhanaan. Kesederhanaan itulah yang membuatkan saya yakin dengan cinta yang Allah berikan kepada saya. Kesederhaan itulah yang membuatkan saya kembali melihat diri saya, kehidupan saya, pergerakan saya, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah saya.”


Dr Ali Zahidi tidak berkata apa-apa.


“Orang semua menyatakan bahawa perubahan saya adalah kerana saya berusaha sendiri. Dari satu sisi, mungkin benar. Tetapi sebenarnya, saya bergerak untuk berubah itu adalah apabila saya bertemu dengan kesederhanaan yang ada pada Masyitah dan keluarganya. Akhirnya jadilah saya sebagai saya yang hari ini. Jika Abang Ali menyatakan bahawa saya hari ini adalah seorang yang bermanfaat kepada ummah, maka tidakkah yang membentuk saya juga telah memberikan manfaat? “


“Ana hanya hendak enta pergi lebih jauh. Pada ana, enta boleh pergi lebih jauh lagi. Tengok ana hari ini. Ke hulu ke hilir memberikan penyampaian. Apabila ada isteri seperti Maryam yang mampu berdiri bersama-sama aku, kerja menjadi lebih mudah. Kini satu Malaysia sudah mengenali ana. Brunei, Indonesia dan Singapura juga sudah mula hendak memanggil ana.”


Hariz menggeleng. Senyumannya mekar hingga ke telinga.


“Jika itu hendak diukur sebagai kejayaan, dan sampai ke tahap itu yang Kak Maryam boleh bantu Abang Ali, pada saya, saya lebih dari itu.”


Mata Dr Ali Zahidi membesar.


“Kini, buku-buku dan novel-novel saya sudah mula hendak diterjemahkan ke pelbagai bahasa di seluruh dunia. Produser-produser filem turut menghubungi saya untuk memfilemkan beberapa novel saya. Syarikat Motivasi saya juga sudah mula berkembang keluar dari Asia Tenggara. Terdapat juga sambutan hangat dari Eropah. Kini Masters saya sudah hampir tamat, maka saya kira lepas ini bolehlah saya fokuskan sebentar kepada perjalanan kerja-kerja ini agar lebih kukuh sebelum saya menyambung ke PhD.”


Dr Ali Zahidi kelu.


“Abang Ali, Masyitah sendiri tidak perasan bagaimana hakikatnya dia telah membantu saya bergerak sejauh ini. Kehadiran Masyitah adalah anugerah Allah yang terbesar buat saya. Dia menghilangkan penat saya, mengubati gundah saya, menambah semangat saya, dan buat saya sentiasa kembali mengingati amanah yang Allah berikan kepada saya. Sebab saya cintakan Masyitah. Saya mahu masuk syurga dengan dia. Maka saya bersungguh-sungguh di atas dunia ini kerana itu. Biar saya boleh bawa dia masuk syurga.”


Dr Ali Zahidi akhirnya menggeleng.


“Ana tiada bicara untuk enta lagi. Maafkan ana kalau sudah mengganggu jiwa enta. Ana tersilap perhitungan.”


“Abang Ali, sebagaimana Kak Maryam itu bukannya Maryam ibu kepada Isa, begitulah juga dengan Masyitah saya. Sememangnya dia bukan Masyitah di Zaman Musa. Tetapi mereka masing-masing ada kelebihan. Kak Maryam dengan kelebihannya, mampu menonjol dan aktif dalam dakwah dan tarbiyah bersama Abang Ali. Masyitah pula, kelebihannya adalah memberikan kehidupan kepada saya.”


Dr Ali Zahidi mengangguk sambil tersengih.


“Sepatutnya, baitul muslim tadi enta seorang sudah lebih dari memadai. Ana malu dengan enta.”


“Tidak. Kita tetap kena bersama-sama. Siapalah saya jika dahulu Abang Ali tidak mendidik saya.” Hariz merendah diri. Kini matanya perlahan-lahan digalihkan kepada Masyitah.


Nampaknya isterinya itu sudah selesai makan.


“Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa. Saya hidup di dalam realiti, sebab itu saya mampu menerimanya.”


Dr Ali Zahidi hanya mampu mengangguk lagi.


Benar. Realiti.


Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas perkahwinan.


Tetapi nampaknya Hariz Arifi berbeza.


Dia membesar-besarkan segala kelebihan yang ada pada isterinya, walaupun hakikatnya kelebihan itu sebesar kuman cuma. Yang mungkin di mata orang lain, tiada apa maknanya.
Menyebabkan orang sepertinya jadi malu sendiri, berbicara dengan Hariz Arifi.


*****
Dia terbangun di tengah malam. Gegendang telinganya bergetar mengejutkan tubuh. Biasanya dia tidur nyenyak sahaja kerana setiap malam dia akan keletihan studi. Tetapi semenjak graduasi, dia sudah tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Dia sudah tidak perlu studi teruk-teruk seperti dahulu. Mungkin sebab itu lenanya juga senang terjaga. Dia sudah tidur awal.
Matanya memandang ke sudut bilik. Satu lembaga sedang duduk bersimpuh ditemani cahaya oren dari lampu tidur.


Hariz Arifi.


“Rajin betul suami aku ni.” Gumamnya. Malu sendiri. Hariz Arifi hanya mengejutkannya pada malam Jumaat. Tetapi dia tahu yang suaminya itu hampir setiap malam akan bangun melaksanakan qiamullail jika tiada keuzuran.


“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah.”
Eh? Masyitah? Nama aku. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Ingin mendengar dengan lebih jelas. Dia dapat melihat Hariz Arifi bersama kedua belah tangan yang terangkat.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Sesungguhnya aku amat mencintainya. Kau telah hadirkan dia sebagai penghidup jiwaku. Acapkali aku melihatnya, dia menumbuhkan kebahagiaan dalam hatiku. Maka ya Allah, rahmatilah dia.”


Tiba-tiba hati rasa sebak. Ayat-ayat yang terlantun menghentak gegendang telinganya agar bergetar itu, seakan tembus mendodoi jiwanya juga.


“Ya Allah, jadikanlah Masyitah itu wanita yang Kau redhai dan jagalah dia. Permudahkan segala urusannya. Golongkanlah dia dalam golongan orang yang berjaya, cemerlang dalam segala halnya, khususnya dalam ketaatan kepadaMu dan dalam perjalanannya menuntut ilmu.”


Aku pernah mendoakan dia tak? Tiba-tiba Masyitah mempersoalkan dirinya. Jangan kata doakan dia, doa untuk diri sendiri sungguh-sungguh pun sekali sekala sahaja. Ish…


Tiba-tiba mata rasa berkaca.


“Ya Allah, masukkanlah Masyitah itu dari kalangan ahli syurgaMu, redhailah dia Ya Allah, terimalah dia Ya Allah. Jadikanlah dia seorang yang beriman dan solehah. Lindungilah dia dari kejahatan dan kemungkaran.”


Air mata mengalir.


“Sesungguhnya aku amat mencintainya ya Allah. Maka cintailah dia. Sebagaimana Kau hidupkan jiwaku apabila melihatnya, maka hidupkanlah jiwanya untuk mencintaiMu dan menjadi hambaMu yang baik.”


Perlahan-lahan Masyitah baring dan berpaling mengiring dari arah Hariz Arifi.


“Amiin.”


Tangannya menggenggam selimut. Mulut mengungkap “Amin,” bersama air mata yang mengalir.


Ya Allah, rahmatilah suami aku.


Dan jadikanlah aku ini orang yang mampu menyenangkannya.


*****


“Kenapa ya tiba-tiba hendak bawa saya bercuti?” Soalan itu hadir diiringi dengan bunyi ombak memukul pantai.


“Tak boleh?” Burung camar menghiasi suasana.


“Boleh. Saya suka.” Mentari senja menambah keindahan.


“Ha, ingat sayang saya ini tak suka. Boleh saya tempah tiket balik hari ini juga.” Keadaan pantai yang sudah mula sedikit dengan orang ramai membuatkan mereka berdua dapat duduk-duduk dengan tenang.


“Tak naklah. Lawa sini. Pantai dia sangatlah cantik.”


“Awak cantik lagi.”


Diam.


Hariz memandang sebelahnya. Masyitah tunduk menekur pasir pantai.


“Kenapa diam? Ingat nak bangga-banga. Orang puji.”


“Speechless. Awak selalu puji saya itu ini. Lebih-lebihkan saya itu ini. Saya tak pandai nak main ‘jiwang-jiwang’ macam awak. Saya takut nanti lama-lama awak bosan dengan saya.”


“Haha. Bosan dengan awak? Habis, saya nak hidup macam mana kalau saya bosan dengan awak? Saya pun tak dapat bayang. Mustahil terjadi insyaAllah.” Sungguh-sungguh Hariz berbicara.


“Manalah tahukan. Awak takkan tak penat dengan saya?”


“Kan dah cakap tempoh hari? Lagipun, dalam hampir dua tahun ini, awak tengok saya layan awak, saya hidup dengan awak, ada pernah buat gaya penat selain bila saya balik kerja?”
Tak ada. Tetapi jawapan itu tinggal di kerongkong Masyitah sahaja.


“Awak tanya kenapa bawa awak bercuti kan?”


“Ya.”


“Lawa tak matahari itu?” Hariz memanjangkan tangan, menunjuk ke arah mentari dengan jari telunjuk. Matahari itu hampir terbenam ditelan horizon kerana senja.


“Lawa.”


“Awak adalah matahari saya.”


“Matahari?”


“Matahari adalah sumber tenaga. Matahari juga adalah paksi menjaga keseimbangan sistem solar kita. Matahari petunjuk arah. Awak adalah semua itu. Tanpa awak, saya samalah macam bumi tanpa matahari, gelap dan tidak hidup. Tanpa awak, saya samalah seperti sistem solar kita ini tanpa matahari, tidak seimbang dan bergerak ke arah kehancuran.”


Masyitah tidak mampu berbicara apa-apa. Hawa yang ada kini seakan-akan membuatkan dadanya sebak dan dia rasa seperti ingin menangis.


“Dan untuk jawapan kepada soalan kenapa saya bawa awak bercuti adalah…”


Apa lagi? Hariz Arifi, awak memang pandai buat jiwa saya tunggang terbalik.


“Selamat Hari Lahir.”


Masyitah terpana sebentar. Hari Lahir. Hari ini…


MasyaAllah.


“Haha. Dah agak dah dia lupa. Sibuk sangat studi. Bila dah graduasi, tarikh lahir sendiri pun lupa.” Hariz ketawa sendiri. “Percutian ini adalah hadiah hari lahir dan hadiah graduasi sekali. Boleh ya?”


Tiba-tiba air mata Masyitah menitis.


“Eh, awak, kenapa menangis?”


Segera Masyitah melentokkan kepalanya pada bahu Hariz.


“Kenapa ni?” Hariz menggosok perlahan belakang tubuh Masyitah.


“Terima kasih ya awak?”


Hariz menggelengkan kepala. “Saya yang patut ucap terima kasih sebab awak sudi kahwin dengan saya, berada di sisi saya.”


“Boleh tak bagi saya menang sekali dalam menghargai?” Masyitah yang sudah melekat pada bahu Hariz bersuara.


Hariz ketawa. Air mata meleleh pun boleh buat orang ketawa. Isteri aku ni kiut sungguh.


“Saya janji akan berusaha dengan lebih baik lagi. Biar benar-benar boleh menjadi matahari awak, ibarat Masyitah di zaman Musa, yang teguh terjun ke dalam didihan syurga.”


Hariz tidak menjawab. Hanya leretan senyuman. Matanya kekal memandang matahari yang semakin ditelan horizon. Masyitah damai di bahunya.


Di dalam hati tidak henti mengucap hamdalah.
Kebahagiaan ini, memang tiada bandingannya.
Isterinya memang bukan Masyitah di zaman Musa.
Tetapi dia adalah Tiara Masyitah, bidadari di dalam jiwa.
Yang Allah salurkan daripada Masyitah ini, kekuatan dan kehidupan kepadanya


p/s : Saja nak share sebab cerpen ni best..tribute kepada Langit Ilahi yang berjaya buat cerpen yang sangat best...nanti buat cerpen tajuk Madihah pulak lah.ngee :)

1 comment: