Penyakit yang lebih kronik di dalam jiwa manusia ialah penyakit Ghaflah. Iaitu Penyakit lupa pada Allah SWT, lupa kepada tujuan Allah SWT meletakkan mereka sebagai khalifah di muka bumi ini dan yang lebih besar, mereka lupa kepada pengakhiran hidupnya. Mereka bukan sahaja melupakan perkara tersebut, tapi bagi golongan ini, persoalan asas ini tidak pernah difikirkan oleh mereka.Masyarakat sekeliling sekadar mencemuh perbuatan mereka tanpa http://www.blogger.com/img/blank.gifusaha untuk membantu menyelesaikan persoalan ini yang menyebabkan mereka semakin jauh tersesat di alam nafsu sendiri.
“Siapa kita, dari mana dan ke mana?” merupakan persoalan asas bagi segala tujuan. Bagi menyelesaikan persoalan inilah, Allah SWT menurunkan panduan di dalam kitab sucinya menerusi rasul utusan Allah SWT, supaya manusia dapat menemui cahaya kehidupan setelah teraba-raba mencari arah di dalam kegelapan jahil dan kufur.
Hidup ini terlalu murah jika sekadar untuk dihabiskan bagi memenuhi tuntutan jasmani semata-mata. Apakah bezanya kita sebagai manusia dengan binatang sekiranya tujuan hidup adalah untuk makan, berehat, melepaskan nafsu seksual dan mencari duit hanya untuk meneruskan perkara tersebut. Sebab itu Allah SWT mencetuskan persoalan ini di dalam ayat-ayat-Nya yang bermaksud: ”Adakah kamu menyangka (wahai manusia) yang kamu ini diciptakan dengan sia-sia dan kamu tidak dikembalikan kepada Kami (tidak sekali-kali).”
Allah SWT juga menempelak gologan yang sekadar hidup untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu dan melupakan tujuan hidup yang utama iaitu mengenal Allah SWT dan menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadah-Nya.
Allah SWT berfirman: ”Dan orang-orang yang kufur (kepada Allah SWT), mereka berseronok dan makan sebagaimana binatang ternak, nerakalah kesudahan bagi mereka.”
Seorang Muslim mesilah menyukai bagi saudaranya apa yang disukai bagi dirinya. Mafhum dari hadis ini meluas pemahamannya dan bukan sekadar menganjurkan kita untuk berkongsi kebaikan dengan saudara seislam kita dari segi material. Kebaikan yang paling besar dan wajib dikongsi bersama adalah hidayah Allah SWT dan kefahaman Islam yang diberikan Allah SWT kepada kita. Bantulah untuk menggapai tangan saudara seislammu yang sedang lemas di lautan nafsu dan pimpinlah mereka di atas jalan menuju Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW, bermaksud: ”Bantulah saudaramu yang berlaku zalim atau yang menzalimi. Sahabat berkata: Ya Rasulullah, kami membantu orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami membantu orang yang zalim. Rasulullah SAW kemudian bersabda: Halangilah kezaliman yang dilakukan oleh mereka”. (Hadith riwayat al-Bukhari)
Tanggungjawab kita tidak sekadar terhenti pada pekerjaan kita sehari-hari. Mungkin kita seorang doktor, jurutera, peguam, pensyarah atau siapa saja, tapi yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT ialah apa yang kita lakukan untuk agama-Nya melalui pekerjaan kita. Hanya dengan jalan dakwah ini kemuliaan ummah ini dapat dikembalikan.
No comments:
Post a Comment